Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Lelaki Lebah S'pura' ini sudah selamatkan lebih 1,000 koloni lebah

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tahukah anda bahawa selain burung dan kelawar, lebah juga menyumbang kepada 35 peratus penghasilan makanan dunia?

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketiga-tiganya meningkatkan pengeluaran 87 jenis tanaman makanan di seluruh dunia, termasuk ubat-ubatan yang berasal dari tumbuhan.

Tiga suku tanaman di seluruh dunia yang menghasilkan buah atau biji untuk kegunaan manusia sebagai makanan bergantung sebahagiannya, pada pendebunga.

HARI LEBAH SEDUNIA

Tarikh 20 Mei diisytiharkan sebagai Hari Lebah Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia dirasmikan pada 2018.

Ia adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan kesedaran awam tentang peranan penting lebah dalam ekosistem persekitaran memandangkan populasi lebah semakin berkurangan.

Menurut PBB, serangga seperti lebah menyumbang kepada 35 peratus penghasilan makanan dunia dan jika tidak dipelihara, ia mungkin menjejas sumber makanan manusia sejagat

"Jika kita membunuh, 1,000 koloni setiap tahun, ini bermakna 1 bilion bunga tidak dapat didebungakan oleh lebah, dan bunga-bunga ini tidak dapat menghasilkan biji dan buah-buahan. Ini bermakna sumber makanan yang disediakan untuk manusia dan kehidupan lain akan mempunyai sumber makanan yang berkurangan. Ini akan menjejas seluruh ekosistem, mengurangkan kadar kehidupan, biodiversiti dan ianya juga tidak mampan," kata pemelihara lebah berpengalaman, Encik Xavier Tan.

Encik Tan giat memperjuangkan usaha pemeliharaan lebah di Singapura sejak 2009.

Menurutnya, terdapat kurang kesedaran dan pengetahuan tentang lebah dan ini yang mengakibatkan puluhan ribu lebah dihapuskan.

"Kebanyakan orang takut pada lebah, Dan cara untuk menangani masalah lebah adalah dengan menghubungi syarikat pembasmi serangga. Disebabkan itu, ribuan sarang lebah sudah dihapuskan oleh syarikat-syarikat pembasmi serangga setiap tahun.

"Jika kita biarkan ia berlarutan, populasi lebah akan terjejas kerana kita tidak ada pertubuhan untuk mengkaji trend populasi lebah," ujar Encik Tan.

Syarikat Nutrinests yang beliau ditubuhkan pada 2014 menawarkan khidmat memindahkan sarang lebah dari banyak kawasan termasuk perumahan, pejabat, dan kenderaan.

Hampir setiap hari, jadualnya sibuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

Setiap sesi juga boleh memakan masa antara 1.5 hingga 2 jam dan berharga antara S$150 hingga S$500, bergantung kepada skala kerja-kerja pemindahan yang perlu dilakukan.

Harga itu mungkin setimpal dengan harga yang ditawarkan syarikat pembasmi serangga, namun menurut Encik Tan, kaedahnya lebih berperikemanusiaan.

Sebelum memindahkan koloni lebah, beliau akan cuba sedaya upaya mendidik para pemilik rumah tentang cara-cara bagaimana mereka boleh hidup bersama lebah tersebut.

"Lebah tidak menyengat sesiapa tanpa sebab kecuali jika anda mengusik sarangnya, cuba menangkapnya atau memijak mereka. Apabila mereka berasa terancam, baru mereka akan menyengat.

"Lebah juga hanya boleh menyengat kita sekali sahaja. Selepas mereka menyengat, mereka akan mati. Bukan semua orang akan mendapat alahan daripada sengatan lebah," jelas beliau.

Beliau berjaya meyakinkan sekitar 100 keluarga di Singapura untuk hidup bersama lebah-lebah mereka.

Setakat ini, lebih 1,000 koloni lebah sudah diselamatkan.

Koloni lebah yang diselamatkan pula kemudian dipelihara di dua taman lebahnya yang terletak di Jurong dan Sembawang.

Di samping itu, orang ramai juga berpeluang untuk mempelajari dan mendekati lebah-lebah menerusi sesi-sesi lawatan, ceramah dan acara yang dianjurkan.

Antara 5,000 pelawat yang pernah datang ke tamannya termasuk Presiden Halimah Yacob.

"Mereka berpeluang melihat lebah dengan lebih dekat dan berinteraksi dengan lebah. Ada juga yang boleh menyentuh atau memberi makanan kepada lebah dengan sedikit madu pada jari-jemari mereka. Aktiviti sebegini membantu meyakinkan mereka tentang tingkah laku lebah di mana mereka bukanlah makhluk yang sedia untuk menyengat seorang. Mereka akan berasa lebih selesa untuk dikelilingi lebah," jelas Encik Tan sambil tersenyum.

Madu lebah yang dihasilkan lebah-lebah dalam peliharaannya juga turut dijual.

Sempena Hari Lebah Sedunia tahun ini, Encik Tan berharap dapat diadakan undang-undang lebih ketat untuk melarang pembasmian lebah serta dipertingkatkan usaha memelihara lebah.

"Jika kita boleh dapat lebih ramai orang untuk memahami dan belajar untuk hidup dengan lebah, kita tidak lagi perlukan pemelihara lebah tapi setakat tempat untuk berkongsi ruang dan membenarkan lebah untuk tinggal berdekatan kita. Ini adalah langkah yang besar untuk kita, dan untuk lebah juga," kata Encik Tan, dengan penuh harapan.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan