Lelaki lanjut usia lebih terdedah kepada risiko bunuh diri akibat perubahan hidup, kata pakar
Menurut Samaritans of Singapore, 90 daripada 120 orang dewasa berusia 60 tahun ke atas yang meninggal dunia akibat bunuh diri pada 2024 adalah kaum lelaki. (Gambar fail: iStock)
Merentas semua kumpulan usia, lelaki membentuk hampir dua pertiga daripada 441 kes kematian akibat bunuh diri yang dicatatkan pada tahun tersebut. Data sementara bagi 2025 menunjukkan kadar yang hampir sama.
Pakar berkata kerentanan pada usia lanjut sering berpunca bukan daripada satu peristiwa, tetapi gabungan beberapa perubahan dalam kehidupan - persaraan, kesihatan yang semakin merosot, lingkungan sosial yang semakin mengecil dan keengganan mendapatkan bantuan.
APABILA PEKERJAAN MENJADI IDENTITI
Bagi ramai lelaki warga emas, pekerjaan berkait rapat dengan identiti diri mereka.
Profesor Paulin Straughan, pengarah Centre for Research on Successful Ageing dan profesor sosiologi dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata peranan tradisional jantina menyebabkan ramai lelaki menumpukan hampir sepenuhnya kepada pekerjaan bergaji.
Akibatnya pula sering mula dirasai selepas persaraan, apabila lelaki yang kehidupannya berkisar pada pekerjaan tiba-tiba kehilangan rutin, struktur dan identiti yang sebelum ini diraih daripada kerjaya mereka.
"Jika anda tidak meluangkan masa untuk memupuk hobi sendiri dan membina hubungan, anda akan berdepan dengan empat dinding yang kosong apabila bersara kelak kerana anda tidak membuat persediaan yang sewajarnya bagi persaraan," kata Profesor Straughan.
Profesor Madya Dr Helen Ko, pakar gerontologi dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata ramai lelaki lanjut usia dibesarkan dengan tanggapan bahawa peranan utama mereka ialah menyara keluarga.
Akibatnya, apabila mereka tidak lagi bekerja, ia boleh menjejas harga diri dan keyakinan diri mereka.
Namun pakar berpandangan, persaraan tidak semestinya membawa kepada kehilangan hala tuju seseorang.
Cik Loh Yan Zhu, ketua program kaunseling dan bimbingan di Yayasan Tsao, menggalakkan lelaki lanjut usia mencari makna dalam kehidupan selepas bersara.
"Satu perubahan penting yang kami galakkan ialah daripada menjadi penyedia keperluan material keluarga kepada menjadi penyedia sokongan emosi keluarga," kata Cik Loh.
KESIHATAN FIZIKAL SEMAKIN MEROSOT
Bagi ramai warga emas, peningkatan usia juga bermakna berdepan penyakit kronik, kesakitan dan kemerosotan keupayaan bergerak.
Selain cabaran fizikal, pakar berkata kehilangan keupayaan berdikari boleh menjejas rasa hala tuju hidup dan kawalan seseorang terhadap kehidupannya.
Dr Surej John, perunding kanan dan ketua psikiatri di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), berkata kemerosotan kesihatan fizikal merupakan faktor risiko penting bagi bunuh diri pada usia lanjut, walaupun ia jarang menjadi satu-satunya punca.
LINGKUNGAN SOSIAL SEMAKIN MENGECIL
Hubungan sosial yang kukuh dapat membantu warga emas menghadapi persaraan, kemerosotan kesihatan dan perubahan lain dalam kehidupan.
Namun, ramai lelaki lanjut usia mempunyai rangkaian sosial yang agak kecil, sekali gus menjadikan mereka lebih terdedah kepada pengasingan sosial, kata Timbalan Pengarah SOS, Cik Charlene Heng.
Dr Nur Farhan Alami, pakar geriatrik dan pengasas Alami Clinic, berkata kemurungan yang tidak dirawat kekal sebagai faktor risiko terbesar bagi bunuh diri.
Corak itu turut dicerminkan dalam data SOS. Walaupun wanita membentuk kira-kira satu pertiga daripada kes kematian akibat bunuh diri pada 2024, mereka mewakili 62.5 peratus panggilan dan kiriman teks berkaitan bunuh diri yang diterima pertubuhan itu.
Dr Ko dari SUSS berkata usaha mendekati golongan lelaki perlu dirancang berdasarkan cara mereka membina hubungan secara semula jadi.
"Wanita berbual secara bersemuka, tetapi lelaki berbual sambil melakukan sesuatu bersama," katanya, sambil menjelaskan bahawa lelaki cenderung membina hubungan menerusi aktiviti yang dikongsi bersama.
Selain program masyarakat, keluarga juga memainkan peranan.
Keluarga perlu menyedari bahawa seorang bapa atau datuk yang semakin berusia boleh berasa amat kesunyian meskipun dikelilingi ramai orang, kata pakar psikiatri Dr Lim Boon Leng dari Hospital Gleneagles.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.