Lelaki lakukan serangan seksual ke atas anak tiri sedang isteri tidur di sebelahnya
Selama satu setengah tahun, seorang lelaki mendera anak tiri perempuannya secara seksual sedang budak itu pura-pura tidur. Kejadian itu seringkali berlaku sewaktu ibu mangsa tidur di sisi lelaki berkenaan.
(Gambar hiasan: Merdeka.com)
SINGAPURA: Selama satu setengah tahun, seorang lelaki mendera anak tiri perempuannya secara seksual sedang budak itu pura-pura tidur. Kejadian itu seringkali berlaku sewaktu ibu mangsa tidur di sisi lelaki berkenaan.
Kanak-kanak lapan tahun itu akan menangis apabila dia perlu pulang dari rumah bapa kandungnya ke flat di mana dia tinggal bersama ibu dan bapa tirinya kerana takut bapa tirinya akan melakukan sesuatu kepada dirinya.
Akhirnya, bapa kandung budak itu menyedari perkara yang dilakukan oleh suami bekas isterinya apabila anaknya menangis tanpa henti dan enggan memasuki flat tersebut.
Mereka kemudian membuat laporan polis pada 18 Oktober 2016.
Pada Selasa (2 Jul), bapa tiri itu yang kini berusia 42 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas satu tuduhan melakukan hubungan kelamin dengan budak bawah umur 14 tahun serta dua tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul mangsa.
Tujuh tuduhan serupa akan dipertimbangkan bagi penjatuhan hukuman pada tarikh yang belum ditetapkan. Budak perempuan itu kini berusia 12 tahun.
Tertuduh sepatutnya mengaku bersalah pada Mei lalu namun mencabar fakta-fakta kerana berkata mangsa cuba menggodanya.
Apabila penderaan seksual itu berlaku pada sekitar Januari 2015, mangsa tinggal di rumah nenek sebelah ibunya bersama-sama dengan ibu, bapa tiri, dua adik tiri, adik-beradik kandung, nenek saudara dan pembantu rumah.
Mangsa tidur sebilik dengan ibu, bapa tiri dan adik-beradik tirinya.
MULA PENDERAAN SEKSUAL KETIKA MANGSA DARJAH 3
Pada mulanya, tertuduh hanya menyentuh kemaluan mangsa. Namun, lelaki itu mula melakukan penderaan seksual ke atas mangsa sewaktu budak itu dalam Darjah 3 dan lebih kerap melakukan penderaan apabila isterinya hamil.
Kadang-kala, dia akan melakukan perbuatan itu semasa berbaring di sebelah isterinya yang sedang tidur. Selama kejadian itu berlaku, mangsa berpura-pura untuk tidur kerana takut bapa tirinya akan naik berang terhadapnya.
Semasa satu kejadian pada 2015, mangsa meminta lelaki itu untuk baring di sebelahnya di atas katil kerana berlaku guruh dan hujan lebat. Tertuduh kemudian melakukan penderaan seksual ke atas budak itu.
Akhirnya, pada 17 Oktober 2016, mangsa membuka mulut dan memberitahu hal sebenar kepada bapa kandungnya. Suspek kemudian ditangkap pada hari berikutnya di tempat kerja.
ANAK TIRI MIMPI BURUK, TERGANGGU
Sejak itu, mangsa berpindah untuk tinggal bersama bapa kandungnya dan ibu tirinya. Ahli psikologi mendapati mangsa sering mengalami mimpi buruk tentang bapa tirinya dan meluahkan kesulitan emosi, termasuk rasa bimbang dan terguris oleh reaksi sanak-saudara sebelah ibunya.
Bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul mangsa, bapa tiri itu boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan daripada tiga hukuman tersebut.
Bagi kesalahan melakukan hubungan kelamin ke atas budak bawah umur 14 tahun, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat dengan rotan sekurang-kurangnya 12 kali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.