Skip to main content

Singapura

Lelaki Korea Selatan dipenjara, terima wang tunai S$1.55b, beli 28 tan jongkong emas di SG untuk dieksport

Seorang lelaki Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara 60 bulan pada Rabu (1 Okt) selepas menerima lebih S$1.55 bilion dalam bentuk wang tunai, membeli kira-kira 28 tan jongkong emas di Singapura lalu menghantarnya ke Korea Selatan dan Jepun.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Korea Selatan dipenjara, terima wang tunai S$1.55b, beli 28 tan jongkong emas di SG untuk dieksport

Gambar fail yang menunjukkan jongkong emas. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 01 Oct 2025 07:33PM
  • Kim Taek Hoon, 64 tahun, didapati bersalah atas dua tuduhan menipu penyedia logistik, satu tuduhan menipu Kastam Singapura, satu tuduhan gagal melaporkan bungkusan wang tunai, serta satu tuduhan menukar wang tunai yang diketahui sebagai hasil jenayah.
  • Siasatan oleh Jabatan Ehwal Komersial (CAD) mendedahkan bahawa antara 2014 dan 2017, Kim menerima wang tunai dari Korea Selatan dan Jepun yang disembunyikan dalam penghantaran pam gris.
  • Antara Januari 2017 dan Mei 2017, Kim membeli 12,907 jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu daripada pemborong barang kemas di Singapura.
  • Kim diberkas pada Disember 2023.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang lelaki Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara 60 bulan pada Rabu (1 Okt) selepas menerima lebih S$1.55 bilion dalam bentuk wang tunai, membeli kira-kira 28 tan jongkong emas di Singapura lalu menghantarnya ke Korea Selatan dan Jepun.

Kim Taek Hoon, 64 tahun, didapati bersalah atas dua tuduhan menipu penyedia logistik, satu tuduhan menipu Kastam Singapura, satu tuduhan gagal melaporkan bungkusan wang tunai, serta satu tuduhan menukar wang tunai yang diketahui sebagai hasil jenayah.

Pertuduhan itu melibatkan penerimaan lebih S$761 juta dalam bentuk wang tunai dan pembelian hampir 13 tan jongkong emas.

Sebanyak 16 tuduhan lain yang melibatkan baki jumlah wang dan jongkong emas turut diambil kira dalam penjatuhan hukuman. Tuduhan-tuduhan tersebut termasuk penipuan, kegagalan membuat laporan berhubung wang tunai melebihi jumlah yang ditetapkan dan pengubahan wang haram.

Siasatan oleh Jabatan Ehwal Komersial (CAD) mendedahkan bahawa antara 2014 dan 2017, Kim menerima wang tunai dari Korea Selatan dan Jepun yang disembunyikan dalam penghantaran pam gris.

Mana-mana individu yang menerima wang tunai melebihi S$20,000 atau nilai yang setara dalam mata wang asing dari luar Singapura mesti membuat laporan dalam tempoh lima hari bekerja.

Antara Januari 2017 dan Mei 2017, dia menerima bungkusan berjumlah sekurang-kurangnya S$761 juta dari luar Singapura.

“Kim gagal membuat sebarang laporan yang diperlukan mengenai pergerakan wang tunai itu mengikut undang-undang,” menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Dapatan CAD juga menunjukkan bahawa Kim mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa wang tunai yang diterimanya dari luar negara diperoleh daripada pelibatan rakan subahatnya dalam kegiatan jenayah, dan dia percaya wang itu dihantar kepadanya sebagai sebahagian daripada aktiviti haram.

Antara Januari 2017 dan Mei 2017, Kim membeli 12,907 jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu daripada pemborong barang kemas di Singapura.

Dia kemudian menyembunyikan jongkong emas itu dalam penghantaran sepana impak udara untuk dieksport ke Korea Selatan dan Jepun melalui tiga penyedia logistik di Singapura, tanpa mengisytiharkannya.

Kim membuat sebanyak 153 penghantaran, mengandungi 3,174 jongkong emas, ke Korea Selatan dari Januari 2015 hingga Disember 2015. Dia menipu Pantos Logistics dengan menyatakan bahawa penghantaran tersebut hanya mengandungi sepana impak udara.

Antara Januari 2017 dan Mei 2017, dia memperdaya Cosmo SCM bahawa 86 penghantaran ke Korea Selatan dan Jepun hanya mengandungi sepana impak udara, sedangkan penghantaran berkenaan mengandungi lebih 14,000 jongkong emas.

Pejabat Pelaporan Urus Niaga Mencurigakan mengesan kemungkinan kegiatan penyeludupan menerusi analisis risikan kewangan dan pertukaran maklumat dengan rakan sejawatan luar negara, yang membawa kepada siasatan lanjut oleh CAD, menurut polis.

Siasatan rasmi kemudian dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Kastam dan Bahagian Anti-Pengubahan Wang Haram / Menentang Pembiayaan Keganasan Kementerian Undang-Undang.

Maklumat juga dikongsi antara pihak berkuasa di Singapura, Korea Selatan, Jepun dan Interpol.

Kim diberkas pada Disember 2023.

Pengarah CAD, David Chew, berkata: “Singapura berdepan risiko sedia ada berhubung pengubahan wang berasaskan perdagangan memandangkan kedudukannya sebagai pusat kewangan serta hab perdagangan dan pengangkutan serantau utama.”

Kata beliau, kes ini menunjukkan keupayaan Pejabat Pelaporan Transaksi Mencurigakan mengesan penyalahgunaan kedudukan Singapura sebagai hab perdagangan untuk melakukan pengubahan wang haram, selain keupayaannya untuk bekerjasama dengan pihak luar negara.

“Penyelarasan erat antara agensi dan kerjasama antarabangsa yang berkesan memudahkan perkongsian maklumat, yang menjadi faktor penting dalam pengesanan dan pembongkaran operasi pengubahan wang haram sindiket jenayah ini,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatannya dari Korea Selatan dan Jepun, serta Interpol atas bantuan mereka dalam siasatan tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita