Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki kini hadapi tuduhan lebih berat, dituduh bunuh adik perempuan

Seorang lelaki yang sebelum ini dituduh menyebabkan kecederaan parah pada adik perempuannya, kini dituduh membunuhnya bersama dua lagi rakan subahat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Jun 2021 12:20PM Dikemas Kini : 29 Jun 2021 09:10PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang sebelum ini dituduh menyebabkan kecederaan parah pada adik perempuannya, kini dituduh membunuhnya bersama dua lagi rakan subahat.

Tuduhan Huang Bocan, 29 tahun, dipinda pada Selasa (29 Jun) kepada tuduhan membunuh Huang Baoying yang berusia 19 tahun.

Kesalahan itu membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat.

Huang dikenakan tuduhan baru itu bersama dua lagi rakan subahat - penduduk tetap Singapura berusia 41 tahun, Chee Mei Wan dan Lim Peng Tiong yang berusia 62 tahun.

Mereka dituduh mempunyai niat bersama untuk membunuh Cik Huang dengan menyebabkan kecederaan parah pada tubuhnya sekitar 10.00 malam pada 4 Mei di sebuah flat tingkat enam di Blok 602 Clementi West Street 1.

Polis menemui Cik Huang terbujur dalam flat berkenaan kira-kira pukul 6.30 pagi pada 5 Mei setelah dimaklumkan tentang satu kes kematian luar biasa. Remaja itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan abangnya diberkas.

Butiran mengenai hubungan Huang Bocan dengan dua rakan subahat itu tidak didedahkan di mahkamah.

Peguam Chee bertanya sama ada laporan bedah siasat sudah selesai dan diberitahu bahawa ia sudah siap tetapi laporan sedemikian biasanya dimuat naik apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwa meminta perbicaraan ditangguhkan dan hakim memberi mereka 10 minggu kerana siasatan mengambil masa yang lebih lama "memandangkan pertuduhan diubah menjadi lebih berat".

Huang pertama kali didakwa pada Mei kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk pada adik perempuannya dengan memukulnya dengan kayu.

Chee dan Lim kemudian didakwa kerana mempunyai niat sama untuk menyebabkan kecederaan parah pada mangsa.

Di perbicaraan sebelum ini, pihak pendakwa berkata ketiga-tiga mereka berkemungkinan menerima pertuduhan tambahan, dengan Huang dijangka dikenakan pertuduhan bagi kesalahan mengurung, menahan secara paksa dan menyebabkan kecederaan.

Jika didapati bersalah melakukan pembunuhan, kesemua tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebat.

Dalam kalangan ketiga-tiga yang tertuduh, hanya Huang yang layak disebat kerana umur Lim melebihi 50 tahun dan Chee adalah seorang wanita. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan