Skip to main content

Singapura

Lelaki kes tikam Gereja St Joseph akan terus direman bagi siasatan lanjut

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki kes tikam Gereja St Joseph akan terus direman bagi siasatan lanjut

(Gambar: CNA/Wallace Woon, Jeremy Long)

Diterbitkan : 02 Dec 2024 02:33PM Dikemas Kini : 02 Dec 2024 02:54PM
SINGAPURA: Suspek kes tikaman di Gereja St Joseph akan terus direman bagi membantu siasatan.

Basnayake Keith Spencer, warga Singapura berusia 37 tahun, ditahan reman selama seminggu dengan kebenaran untuk dibawa ke tempat kejadian bagi tujuan siasatan.

Ini selepas dia direman tiga minggu untuk menjalani penilaian psikiatri.

Hakim menjadualkan perbicaraan seterusnya pada 9 Dis.

Basnayake didakwa pada 11 Nov dengan satu tuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya ke atas Paderi Christopher Lee Kwong Heng.

Dia dituduh menggunakan pisau lipat untuk menikam Paderi Lee di mulut sekitar pukul 6.30 petang pada 9 Nov di Gereja St Joseph di Upper Bukit Timah.

Kertas pertuduhan menyatakan bahawa tindakan itu menyebabkan luka sepanjang 8 sentimeter (cm) pada lidah Paderi Lee, luka 3cm pada bahagian atas bibir dan luka 4cm pada sudut mulutnya.

Tikaman itu membahayakan nyawa Paderi Lee, menurut kertas pertuduhan.

Paderi Lee, yang merupakan seorang paderi di gereja itu, menjalani pembedahan untuk merawat lukanya dan dibenarkan keluar hospital pada 15 Nov.

Serangan itu berlaku semasa upacara misa bulanan untuk kanak-kanak.

Susulan kejadian itu, polis meningkatkan rondaan di tempat-tempat ibadat.

Menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Basnayake ialah warga Singapura berketurunan Sinhala dan sebelum ini mengisytiharkan kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bahawa dia beragama Kristian.

Siasatan awal menunjukkan bahawa dia bertindak sendirian, dengan polis tidak mengesyaki serangan itu bermotif agama atau tindakan pengganasan.

Seseorang yang disabitkan dengan kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya boleh dihukum penjara seumur hidup atau dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, didenda dan dirotan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita