Lelaki kerja dengan pengurup wang haram dipenjara; rampas S$30,000 daripada klien di Jurong Point
Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY
SINGAPURA: Seorang lelaki yang bertugas untuk pengurup wang haram merampas S$30,000 daripada kliennya yang tidak begitu senang dengannya sedang beliau ditahan rakan subahat lelaki berkenaan di pusat beli-belah Jurong Point. Ini memandangkan bosnya mengarahkan untuk mendapatkan wang tunai tersebut "dengan apa cara sekalipun".
Zhang Kexi dan beberapa individu lain didakwa menerima arahan daripada seorang lelaki bernama Tan Zhixian, yang menyediakan khidmat pertukaran wang tidak berlesen, yang diuar-uarkan menerusi Telegram dan WeChat.
Zhang, seorang warga China yang berusia 33 tahun, mengaku bersalah pada Isnin (29 Mei) atas satu tuduhan mencuri dan satu tuduhan membantu mengendalikan khidmat pembayaran tanpa lesen. Dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan.
Tiga lagi tuduhan serupa juga diambil kira semasa menjatuhkan hukuman tersebut.
APA YANG BERLAKU?
Siasatan mendedahkan bahawa pada atau sebelum 17 Januari 2022, terdapat satu perbualan WeChat antara Zhang Kexi dengan kliennya yang bernama Zhang Renfei, yang meminta untuk menukarkan S$100,000 dengan nilai yang setara dalam mata wang yuan.
Satu persetujuan dicapai untuk menukar wang tersebut pada kadar S$1 kepada 4.8 yuan. Encik Zhang Renfei akan menerima 480,000 yuan dalam akaun yang ditetapkan di China sejurus beliau membayar S$100,000.
Zhang Kexi didakwa memaklumkan Tan mengenai persetujuan tersebut dan diberitahu bahawa memandangkan ia melibatkan jumlah wang yang besar, mereka perlu melihat dahulu jumlah yang diserahkan oleh Encik Zhang Renfei sebelum pindahan wang tersebut dibuat, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jonathan Tan.
Rancangan awalnya adalah untuk Tan memindahkan 115,000 yuan ke akaun bank Encik Zhang Renfei dan mengambil S$24,109 daripada Zhang Renfei.
Apabila pindahan pertama wang dilaksanakan, Tan akan kemudian mengulangi prosedur tersebut bagi tiga pindahan wang seterusnya.
Aturan awal tersebut adalah untuk Zhang Kexi dan dua lagi individu lain bertemu dengan Encik Zhang Renfei di kawasan berdekatan dengan Blok 687 di Jurong West, di mana beliau akan memberi wang tunai tersebut setelah menerima pindahan wang yuan itu.
Encik Zhang Renfei bagaimanapun keberatan untuk berjumpa dengan mereka oleh kerana dia bersendirian dan mempunyai jumlah wang yang banyak.
Zhang Kexi memberitahu dua rakan subahatnya untuk bertemu dengan Encik Zhang Renfei di dalam pusat beli-belah Jurong Point untuk membawanya ke lokasi yang dipersetujui. Namun, apabila mereka bertemu, Encik Zhang Renfei enggan meninggalkan pusat beli-belah tersebut oleh kerana bimbang akan keselamatannya.
Pada ketika itu, Tan memberitahu Zhang Kexi bahawa pindahan sebahagian daripada wang tersebut sebanyak 115,000 yuan sudah dibuat seperti yang dirancang. Tetapi apabila diberitahu tentang perkara tersebut, Encik Zhang Renfei enggan menyerahkan wang tunai kerana beliau menafikan menerima pindahan wang tersebut.
DAPATKAN WANG TUNAI DENGAN APA JUA CARA SEKALIPUN
Tan menekankan bahawa pindahan separa pertama sudah dibuat dan didakwa mengarahkan Zhang Kexi supaya mendapatkan jumlah setara dengan wang tunai S$24,109 dengan apa jua cara sekalipun atau jika tidak, dia perlu menanggung segala kerugian yang dialami.
Encik Zhang Renfei kemudian mendapatkan perlindungan di sebuah cawangan Subway di tingkat pertama pusat beli-belah Jurong Point, lalu menghubungi polis untuk meminta bantuan
Zhang Kexi serta seorang lagi lelaki, Chen Suo, mengikutinya sejurus selepas itu, menyebabkan berlakunya pergelutan.
Zhang Kexi diberkas pada 19 Januari 2022.
Pada April lalu, Chen dijatuhi hukuman penjara tiga bulan. Tan pula belum lagi dihadapkan ke mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.