Lelaki kalah tuntutan saman TTSH dan 3 doktor berkaitan kematian ibunya
SINGAPURA: Seorang lelaki gagal dalam permohonan samannya di Mahkamah Tinggi pada Khamis (13 Okt) terhadap Hospital Tan Tock Seng dan tiga doktor atas kematian ibunya.
Hakim Choo Han Teck mendapati pihak hospital dan doktor berkenaan tidak berkelakuan cuai dalam merawat Cik Tan Yaw Lan, 74 tahun, yang meninggal dunia pada Mei 2018.
Anak Cik Tan, Chia Soo Kiang mendakwa Dr Dorai Raj D Appadorai, Dr Lee Wei Sheng and Dr Ranjana Acharya bertindak cuai dalam mendiagnos ibunya semasa di jabatan kecemasan TTSH dan ketika dimasukkan ke wad.
Beliau mendakwa doktor berkenaan gagal mengenalpasti bahawa Cik Tan kena serangan jantung akut semasa tiba di hospital.
Encik Chia juga berkata doktor dan jururawat bertindak cuai dengan tidak mengikut kehendak keluarganya dan membawa ibunya untuk mandi. Mereka juga dakwa ibunya gagal diberi bantuan pernafasan dengan segera selepas dia rebah selain tidak mendapatkan kebenaran daripada Cik Tan apabila mereka berhenti memberinya ubat untuk penyakit jantung dan darah tinggi.
Cik Tan meninggal dunia pada 13 Mei 2018.
Keluarganya menolak untuk menjalani bedah siasat; dan laporan koroner kemudiannya menyatakan bahawa beliau meninggal dunia akibat penyakit jantung iskemik dengan radang paru-paru kemungkinannya merupakan punca jangkitan tersebut.
Encik Chia menyaman ketiga-tiga doktor dan TTSH sebanyak S$800,000.
Cik Tan antara lain mempunyai sejarah penyakit jantung kronik, kencing manis jenis 2, penyakit buah pinggang kronik tahap empat, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan kegagalan jantung.
Pada 20 Apr 2018, Cik Tan dibawa dengan ambulans ke jabatan kecemasan TTSH kerana berterusan demam. Beliau disahkan menghidap jangkitan daripada sumber yang tidak diketahui.
Keadaan Cik Tan beransur pulih pada 22 Apr. Pada 23 Apr, seorang jururawat pelatih membantunya mandi dan sedang beliau membantu Cik Tan menyalin pakaian, wanita itu rebah dan tidak sedarkan diri.
Dalam penghakimannya yang dikeluarkan pada Khamis, Hakim Choo berkata: "Saya berpendapat bahawa peguam Encik Chia, Clarence Lun salah faham dengan keterangan perubatan kedua-dua pihak setakat ini kerana dia mendakwa bahawa doktor di Jabatan Kecemasan telah cuai kerana tidak mengiktiraf bahawa Cik Tan mempunyai infarksi miokardium jenis 1.
"Bukti tidak menyokong penemuan bahawa Cik Tan mengalami serangan jantung akut pada 20 Apr 2018. Apa yang jelas kepada saya ialah jika Cik Tan mengalami serangan jantung pada 20 Apr, ia lebih berkemungkinan menjadi sejenis 2 infarksi miokardium."
Hakim menerima keterangan pakar defendan bahawa Cik Tan telah mengalami serangan jantung semasa mandi, dan itu tidak semestinya disebabkan oleh serangan jantung akut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.