Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki ini pikul tanggungjawab bersihkan tempat tinggal individu yang meninggal dunia seorang diri

Memang sudah menjadi kelaziman Encik Rahman Razali untuk mengamalkan membaca doa sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memang sudah menjadi kelaziman Encik Rahman Razali untuk mengamalkan membaca doa sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan.

Lengkap berpakaian seragam perlindungan peribadi (PPE), beliau melangkah masuk ke flat dengan bau asap daripada pembakaran "joss stick" Cina.

Encik Rahman, 39 tahun, adalah pengasas bersama syarikat pembersihan DDQ Services.

Beliau kadangkala mendapat tugas untuk membersihkan tempat tinggal individu yang ditemui mati selepas beberapa hari, atau malah berminggu-minggu dan berbulan-bulan lamanya.

Mediacorp berpeluang menyertai Encik Rahman ketika beliau menjalankan tugasnya.

Flat Jurong East yang kami kunjungi pada 23 Disember tahun lalu merupakan sebuah unit dua bilik di mana penghuninya tinggal seorang diri. Darah kering dan cecair tubuh daripada mayat mendiang meninggalkan kesan berwarna merah gelap pada meja dan lantai bilik tidur.

Beberapa tin berisi cat dan alat pertukangan disusun rapi pada satu sudut flat itu, memaparkan pekerjaan pemiliknya sebagai seorang tukang membaiki alat penghawa dingin.

Bau kuat menyengat hidung sedang Encik Rahman dan pembantunya, Qasrina yang berusia 18 tahun, menyembur cecair pembasmi kuman pada permukaan dan barangan di dalam bilik itu.

Dengan menggunakan penyepit dan sarung tangan, mereka mengumpulkan barang yang dicemari darah - yang mengisi lebih 10 beg plastik sampah bersaiz besar. Jumlahnya sekitar dua kali ganda lebih banyak sampah yang lazim mereka temui, kata Encik Rahman.

Pasangan itu mengambil masa lebih sejam hanya untuk membersihkan sebuah ruang di dalam bilik itu.

Ini tidak termasuk rasa bahang setelah tiga jam memakai seragam PPE.

(Gambar: CNA/Chew Hui Min)

Pada satu ketika, mereka menemui sebuah dompet yang berlumuran darah, di mana Encik Rahman menyerahkannya kepada pemilik flat tersebut, Encik Tan. Namun, Encik Tan hanya menggelengkan kepalanya lalu Encik Rahman membuang dompet itu.

Encik Tan, yang tidak mahu mendedahkan nama sebenarnya, berkata lelaki yang meninggal dunia itu merupakan temannya. Temannya itu tinggal di situ sementara menunggu flatnya siap, kerana mendiang tidak sehaluan dengan keluarganya.

Lima hari sebelum operasi pembersihan itu, Encik Tan menerima panggilan daripada polis yang merancang untuk memaksa masuk ke dalam flat itu.

Ini selepas seorang jiran menghubungi polis untuk melaporkan ada bau sangat busuk datang dari rumah itu.

Polis menemui mayat mendiang, dan majlis bandaran memberitahu Encik Tan beliau boleh mendapatkan khidmat DDQ bagi kerja-kerja pembersihan.

(Gambar: CNA/Chew Hui Min)

BANTU KELUARGA

Encik Rahman berkongsi juga pengalamannya menemui mayat-mayat yang tersadai selama dua bulan, walaupun ia agak jarang berlaku. Meski ramai orang menganggap tugasnya agak menggerunkan, bagi dirinya sendiri, ia satu tanggungjawab untuk membantu keluarga yang dalam kesusahan.

"Bagi kerja-kerja pembersihan trauma, anggota keluarga mungkin belum bersedia secara emosi atau mereka mungkin sangat sibuk menangani urusan saat akhir bagi mendiang. (Ia) agak sukar bagi mereka... apabila mereka melihat darah ia mengingatkan mereka kepada mendiang," katanya.

Beliau juga kadangkala rasa terkesan dan ini membuatnya lebih menghargai kehidupan.

"Anda perlu hargai hubungan anda bersama orang tersayang, sahabat handai dan keluarga anda kerana bila-bila masa sahaja mereka boleh katakan selamat tinggal," katanya kepada Mediacorp.

Beliau menawarkan khidmat pembersihan selepas kematian atau pembersihan trauma, selain daripada khidmat pembersihan yang lain sejak 2015.

Beliau kini menerima sekitar tiga hingga empat kes sebulan, berbanding satu kes setiap dua hingga tiga bulan sebelum ini.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Kesihatan (MOH) merujuk kepada satu jawapan di Parlimen pada 10 Januari di mana MOH tidak memantau jumlah warga emas yang meninggal dunia ketika berada seorang diri di rumah.

Sekitar 10 peratus atau 88,000 penduduk Singapura berusia 60 tahun dan ke atas tinggal seorang diri pada 2020, tambah MOH.

Pada minggu terakhir Disember 2021, terdapat dua kes individu yang meninggal dunia ketika sendirian di rumah mereka.

Salah seorang daripadanya merupakan lelaki 63 tahun di Toa Payoh North, yang mana jasadnya ditemui hanya selepas jiran tetangga terhidu bau busuk.
 

(Gambar: CNA/Chew Hui Min)

KEMATIAN DI FLAT BUKIT PANJANG

Dalam satu lagi kes di Bukit Panjang, polis mengeluarkan notis mencari waris kepada Allahyarham Ahmad Omar, 68 tahun.

Jiran tetangga yang ditemui Mediacorp berkata mereka kadangkala melihatnya berjalan-jalan di sekitar estet itu namun tiada sesiapa yang mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila beliau tidak turun ke bawah kerana Allahyarham kelihatan sihat.

Tiga individu yang ditemui Mediacorp berkata mereka dimaklumkan bahawa Allahyarham mempunyai seorang isteri dan anak lelaki yang tinggal di Indonesia, dan beliau mempunyai seorang saudara perempuan di Singapura namun mereka tidak tinggal bersama.

Blok itu, yang ada campuran unit lebih kecil bagi warga emas dan flat empat bilik bagi keluarga, mempunyai sistem amaran bagi warga emas yang dipasang dalam rumah mereka dan boleh diaktifkan dengan menarik talinya.

Namun seorang jiran berkata bagi kes Encik Ahmad, sistem itu tidak dihidupkan.
 

(Gambar: CNA/Chew Hui Min)

Sebuah pusat kegiatan warga emas terletak di kolong blok HDB yang sama, namun memandangkan Allahyarham bukan salah seorang klien mereka, tiada sesiapa yang maklum tentang keadaannya.

Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) memberitahu Mediacorp bahawa sayap pendampingannya, Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) mendekati warga emas dalam masyarakat menerusi kunjungan ke rumah dan panggilan telefon, termasuk mereka yang mungkin berasa kesunyian atau terasing.

"SGO menggalakkan warga emas supaya menyertai program penuaan aktif supaya dapat kekal aktif dan berhubung secara sosial," menurut AIC.

Mereka yang berasa terasing secara sosial atau berisiko melalui keadaan sedemikian akan diberi saranan khidmat pendampingan termasuk Careline, sebuah khidmat talian jagaan sepanjang masa. Apabila perlu, SGO juga akan menghubungkan warga emas dengan khidmat sokongan dan jagaan yang lain, tambahnya.

Aplikasi OneService juga mempunyai ciri-ciri 'Help Neighbour' atau bantu jiran, di mana penduduk boleh gunakannya untuk memaklumkan kepada agensi khidmat sosial tentang individu yang mungkin perlukan bantuan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan