Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki ini cipta aplikasi bantu penumpang MRT cari jalan keluar

Sedang para pekerja meletakkan sentuhan akhir pada tujuh stesen MRT baharu di Laluan Thomson-East Coast, pemaju aplikasi Joshua Chua juga mengejar masa untuk memastikan aplikasi mudah alihnya siap untuk digunakan apabila khidmat laluan itu mula beroperasi pada 23 Jun.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sedang para pekerja meletakkan sentuhan akhir pada tujuh stesen MRT baharu di Laluan Thomson-East Coast, pemaju aplikasi Joshua Chua juga mengejar masa untuk memastikan aplikasi mudah alihnya siap untuk digunakan apabila khidmat laluan itu mula beroperasi pada 23 Jun.

Diberi nama 'Next Station', idea untuk membangunkan aplikasi itu berputik ketika Encik Chua sedang menuntut dalam jurusan reka bentuk permainan di Politeknik Singapura 10 tahun lalu.

Namun, kerja-kerja membangunkan aplikasi itu hanya bermula tahun lalu, sebelum beliau melancarkan kepada umum pada April lalu, selepas kerja-kerja pembangunan selama lapan bulan.

Encik Chua, 28 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa idea itu berputik daripada pengamatannya terhadap penumpang lain, seperti teman-temannya yang keluar stesen MRT daripada pintu yang salah untuk ke destinasi mereka.

Justeru beliau memutuskan bahawa beliau mungkin dapat bantu menyelesaikan masalah itu.

"Saya mempunyai rasa ingin tahu sama ada sesuatu boleh dilakukan dengan lebih baik lagi atau sama ada sesetengah proses dapat dijadikan lebih cekap," katanya.

Jadi, apa yang membuat aplikasi Next Station berbeza daripada aplikasi navigasi lain di luar sana?

- Next Station boleh memberikan anggaran waktu ketibaan dan berlepasnya kereta api yang pertama dan terakhir

- Ia mempunyai peta interaktif stesen-stesen MRT dan kawasan sekitarannya untuk membimbing para pengguna ke pintu keluar yang dituju

MENCIPTA APLIKASI NEXT STATION

Sejak dilancarkan di Google Play Store dan Apple App Store, aplikasi itu telah dimuat turun lebih daripada 500 kali, iaitu satu permulaan memberangsangkan yang Encik Chua berharap dapat beliau teruskan.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai latar belakang dalam pembangunan aplikasi sebelum mencipta aplikasi Next Station.

"Saya mempelajari reka bentuk permainan tetapi saya belajar sendiri bagaimana untuk mengekod dan melakukan reka bentuk pengalaman pengguna (UX)," katanya.

Kali pertama beliau terdedah kepada pembangunan aplikasi adalah semasa Perkhidmatan Negara (NS) apabila beliau diberi peluang untuk menghasilkan aplikasi berkaitan NS untuk unit beliau.

"Ia untuk mempertingkatkan daya penghasilan dan memastikan askar-askar dalam unit saya dapat bekerja secara lebih cekap," kata Encik Chua.

Pendedahan itu kemudian memberinya peluang untuk bekerjasama dengan para pembangun lain untuk mereka aplikasi bagi ASEAN Armies Rifle Meet pada 2017, yang diadakan di Singapura.

Aplikasi itu membolehkan pengguna untuk menonton secara langsung acara itu serta markah para peserta dan negara manakah yang mendahului papan markah.

Selepas tamat menjalani NS, Encik Chua mula bergiat sebagai pekerja bebas dalam ruang antaramuka pengguna (UI) dan UX, di mana beliau dapat menajamkan lagi kemahiran, termasuk membangun aplikasi untuk para klien serta mencipta 'plug-ins' untuk sofwe UI/UX.

"Idea asal untuk mencipta Next Station berputik sekitar 10 tahun lalu apabila saya baru mula berjinak-jinak dengan reka bentuk UI/UX tetapi saya sudah mempunyai beberapa idea asas.

"Apabila saya meraih kemahiran baharu, aplikasi MRT ini sentiasa dalam benak fikiran saya," katanya.

CABARAN SEMASA MENCIPTA APLIKASI

Bagi Encik Chua, bukan aspek-aspek teknikal dalam pembangunan aplikasi itu yang mencabar tetapi proses memperhalusinya supaya ia dapat menawarkan pengalaman terbaik kepada para pengguna.

"Bagaimana dapat saya memperhalusi maklumat di mana apabila pengguna melihatnya, ia serta-merta mudah untuk difahami?" kata Encik Chua.

Satu contoh yang beliau berikan adalah mencari huraian kepada peta keluar, yang beliau sifatkan sebagai masalah "sangat menarik" untuk diselesaikan, terutama sekali bagi seorang pemaju aplikasi yang bekerja sendirian seperti dirinya.

"Lazimnya, apa yang orang lain lakukan adalah untuk menyenaraikan tempat-tempat yang berada dekat dengan stesen itu, tetapi sebagai seorang pemaju aplikasi yang bekerja sendirian untuk mencipta aplikasi itu, saya tidak tahu apakah bangunan baharu yang akan muncul," katanya.
Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan