Lelaki Indonesia diuji positif COVID-19 ditangkap kerana disyaki terlibat bantu 4 lelaki masuk S'pura secara haram
Mereka pertama kali dikesan di kawasan Tanah Tambak Tuas pada sekitar 8.30 malam, 9 Oktober oleh Polis Pengawal Pantai melalui sistem pemantauan.
Gambar empat lelaki Indonesia yang memasuki Singapura secara haram. (Gambar: Singapore Police Force)
SINGAPURA: Seorang lelaki Indonesia yang ditangkap Polis Pengawal Pantai dan diuji positif COVID-19 dikaitkan dengan kes empat lelaki ditangkap cuba masuk secara haram ke negara ini pada Oktober.
Empat lelaki warga Indonesia itu dikesan terjun ke laut dari sebuah bot dekat Tuas dan berenang menuju ke pantai, menurut polis hari ini (2 Dis).
Lelaki Indonesia berusia 43 tahun itu adalah antara 10 kes baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Selasa.
Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan dia merupakan pemegang pas khas yang memasuki Singapura dari Indonesia dan ditangkap Polis Pengawal Pantai kerana disyaki terlibat dalam satu kes sebelum ini.
Menjawab soalan Mediacorp, polis menyatakan lelaki itu ditangkap pada 29 November. Dia menjalani ujian swab dan diuji positif pada hari yang sama.
"Polis dimaklumkan tentang hasil ujiannya dan membantu MOH dengan usaha mengesan kontak," tambah kenyataan polis.
Para pegawai yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan lelaki itu sudah dikuarantin dan disuruh memantau kesihatan mereka.
Lelaki itu ditangkap kerana disyaki memudahkan empat lelaki warga Indonesia itu masuk secara haram pada Oktober.
Keempat-empat lelaki itu didakwa pada 10 Oktober atas kesalahan memasuki Singapura secara haram.
Mereka pertama kali dikesan di kawasan Tanah Tambak Tuas pada sekitar 8.30 malam, 9 Oktober oleh Polis Pengawal Pantai melalui sistem pemantauan.
Mereka ditangkap dalam tempoh lima jam selepas dikesan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.