Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki Indonesia didenda, tidak lapor bawa S$1.6 juta keluar-masuk S'pura

Seorang lelaki warga Indonesia kerap datang ke Singapura dengan membawa sejumlah besar wang tunai yang tidak diisytiharkan, dipercayai untuk berjudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Indonesia didenda, tidak lapor bawa S$1.6 juta keluar-masuk S'pura

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 13 Dec 2019 01:30PM Dikemas Kini : 13 Dec 2019 01:34PM

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Indonesia kerap datang ke Singapura dengan membawa sejumlah besar wang tunai yang tidak diisytiharkan, dipercayai untuk berjudi.

Dia dikenakan denda S$16,000 pada Khamis (12 Dis) kerana tidak mengisytiharkan membawa wang tunai sekitar S$1.6 juta keluar-masuk ke Singapura sepanjang empat tahun.

Wardoyo Suro Wijoyo, 59 tahun, mengaku bersalah terhadap empat tuduhan tidak mengisyitharkan wang tersebut semasa di Lapangan Terbang Changi, dengan 33 tuduhan lagi diambil kira.

Mahkamah diberitahu bahawa Wardoyo membawa masuk wang tunai berjumlah antara S$21,300 dengan S$110,000 semasa keluar-masuk Lapangan Terbang Changi antara April 2015 dengan Jun 2019.

Dia ditangkap pada 28 Jun lalu ketika tiba dari Indonesia dan ditahan untuk menjalani pemeriksaan biasa oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Menurut Wardoyo, dia tidak ada apa-apa untuk mengisytiharkan, tetapi pegawai itu memeriksa begnya dan menjumpai mata wang Rupiah dan dolar Singapura bernilai sekitar S$47,500.

Wang tunai itu dirampas, dan Wardoyo mengaku membawa wang tunai keluar dari Singapura sebelum ini.

Undang-undang Singapura menetapkan bahawa sesiapa yang memindahkan S$20,000 keluar-masuk Singapura perlu membuat pengisytiharan di bawah Akta Rasuah, Penyeludupan Dadah dan Jenayah Serius Lain (Rampasan Manfaat).  

Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Chin berkata tidak terdapat bukti sebarang niat untuk melanggar undang-undang bagi kes itu dan memohon denda dikenakan.

Wardoyo, yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah menerusi penterjemah bahasa bahawa dia amat menyesali tindakannya itu dan meminta denda paling ringan dijatuhkan.

Apabila ditanya oleh hakim sebab dia membawa begitu banyak wang tunai masuk ke Singapura, Wardoyo berkata: "Saya berjudi di kasino."

Pendakwa itu mengesahkan bahawa siasatan mendapati bahawa wang tunai itu digunakan untuk aktiviti berkaitan di kasino.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan