Lelaki Indonesia didakwa kerana dedah alat sulit kepada anak kapal dalam penerbangan ke SG
Seorang lelaki berusia 23 tahun didakwa pada Rabu (12 Mac) kerana menunjukkan alat sulitnya kepada seorang anak kapal dalam penerbangan ke Singapura.

Brilliant Angjaya tiba di Mahkamah Negara pada 12 Mac 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Warga Indonesia Brilliant Angjaya didakwa membuka zip seluarnya lalu mendedahkan alat sulitnya ketika berada di tempat duduknya dalam penerbangan ke Singapura pada 23 Januari 2025.
Menurut kenyataan polis pada 8 Mac lalu, siasatan mendapati lelaki itu menyelubungi dirinya dengan selimut lalu menetapkan telefon bimbit pada mod rakaman video, sebelum dia dipercayai mendedahkan alat sulitnya kepada seorang anak kapal yang sedang menghidangkan makanannya.
Anak kapal itu segera meninggalkan tempat duduk lelaki itu lalu melaporkan perkara itu kepada penyelianya.
Sebaik sahaja pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Changi, lelaki itu diberkas oleh polis lapangan terbang dan telefon bimbitnya dirampas untuk siasatan.
Semasa menghadiri perbicaraannya pada Rabu, Angjaya yang tidak diwakili peguam, berkata dia berhasrat mengaku bersalah.
Dia berkata bahawa dia menyesali tindakannya dan memohon maaf.
Angjaya juga bertanya sama ada proses mahkamah boleh dipercepatkan kerana dia sudah berada di Singapura selama 1.5 bulan.
Dalam jawapannya, Hakim Daerah Kamala Ponnampalam berkata pihak pendakwa memerlukan lebih masa, sambil menarik perhatian mereka memohon kes ditangguh selama tiga minggu - dan bertanya jika lelaki itu datang ke Singapura sebagai seorang pelawat.
Angjaya kemudian berkata dia hanya melakukan persinggahan ke Singapura.
Kesnya akan disebut sekali lagi pada 24 Mac.
Hukuman maksimum bagi kesalahan pendedahan secara seksual adalah hukuman penjara setahun dan/atau denda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.