Lelaki hina pekerja binaan India di Lapangan Terbang Changi dijel, didenda
Seorang lelaki yang melemparkan kata-kata berbaur perkauman dan memijak kaki seorang wanita yang menahan pintu lif baginya, hari ini (26 Jul) dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan didenda S$1,000.
William Aw Chin Chai dirakam menghina seorang mangsa dalam lif. (Petikan gambar: Manjit Singh/Facebook)
SINGAPURA: Seorang lelaki yang melemparkan kata-kata berbaur perkauman dan memijak kaki seorang wanita yang menahan pintu lif baginya, hari ini (26 Jul) dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan didenda S$1,000.
William Aw Chin Chai, 47 tahun, juga menyimbah mee ke arah dua lelaki di Singtel Shop Comcentre.
Aw mengaku bersalah atas tuduhan menghasut kebencian dengan kata-kata berbaur perkauman, menggunakan kekerasan jenayah dan sengaja menyebabkan kecederaan.
Tuduhan keempat melibatkan perbuatan mencuri empat botol air mineral dari sebuah medan selera, turut dipertimbangkan.
Mahkamah diberitahu, Aw menganggur ketika dia melakukan kesalahan-kesalahan itu dalam tiga kejadian berasingan pada tahun lalu.
Pada 3 Aug, Aw sedang berada dalam sebuah lif di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi apabila seorang mangsa berusia 33 tahun yang berasal dari India, Encik Ramachandiran Umapathy, memasuki lif yang sama.
Pekerja binaan itu berada di lapangan terbang berkenaan untuk melakukan kerja-kerja pemasangan bagi terowong MRT.
Apabila mangsa memasuki lif, Aw mula melemparkan kata-kata kesat seperti "You f****** dirty people, go out" (Anda **** kotor, sila keluar) , "F*** off" (****) dan "Saya tidak suka dengan orang India, anda busuk".
Encik Ramachandiran menegur Aw atas kelakuannya itu, kata Penolong Pendakwa Raya Lydia Goh.
Mangsa turut merakam insiden tersebut dan memuat naik video itu ke laman Facebook Pasukan Polis Singapura. Video itu kemudian menjadi tular. Encik Ramachandiran juga memfailkan aduan polis.
AW SIMBAH MEE SUP KE 2 LELAKI
Lebih sebulan selepas kejadian itu, Aw sedang makan di Singtel Comcentre di Exeter Road apabila dia mengambil semangkuk mee sup lalu berjalan ke arah dua lelaki yang tidak dikenal pasti dan menyimbah mereka dengan makanan itu.
Insiden itu dirakam CCTV.
Pada Januari tahun lalu, Aw mencederakan seorang wanita yang menahan pintu lif baginya yang sedang terburu-buru.
Mahkamah diberitahu, selepas Aw memasuki lif di Pusat Perubatan NUH, dia berdiri berdekatan wanita berkenaan, Wahida Abdullah, 49 tahun, lalu memijak kaki kirinya.
Cik Wahida mendapatkan rawatan perubatan kerana mengalami kecederaan pada kakinya, sebelum menelefon polis.
Pihak pendakwa mengatakan bahawa wanita tersebut merupakan "seorang mangsa tidak bersalah yang berniat baik".
"Atas kebaikannya, tertuduh sebaliknya memijak kaki mangsa," kata pendakwa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.