Skip to main content

Singapura

Lelaki hasilkan Kpod di rumah untuk dijual mengaku bersalah

Seorang lelaki yang menghasilkan pod rokok elektronik (e-vaporiser) haram yang mengandungi etomidate, atau Kpods, di rumahnya, mengaku bersalah pada Rabu (13 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki hasilkan Kpod di rumah untuk dijual mengaku bersalah

Pod-pod vape yang kosong. (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 13 Aug 2025 12:52PM Dikemas Kini : 13 Aug 2025 02:28PM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang menghasilkan pod rokok elektronik (e-vaporiser) haram yang mengandungi etomidate, atau Kpod, di rumahnya, mengaku bersalah pada Rabu (13 Ogos).

Mohammed Akil Abdul Rahim, 41 tahun, diberkas selepas seorang pekerja penghantaran yang mengambil sebuah bungkusan di luar unit kediamannya di Yishun pada 11 Disember 2024 menemui pod vape di dalamnya. Pekerja penghantaran tersebut terus pergi ke balai polis dan menyerahkan barangan itu.

Pihak berkuasa kemudian memeriksa flat di Blok 296B, Yishun Street 22 pada hari yang sama dan menemui ratusan peralatan serupa.

Antara barangan yang dirampas termasuk 569 bekas pod kosong, 1,485 penutup pod, 100 pod vape berasingan dan vape sekali guna. Serbuk etomidate yang cukup untuk menghasilkan lagi 72 pod vape turut ditemui di rumahnya.

Kes Mohammed Akil merupakan pendakwaan pertama di mahkamah bagi pod rokok elektronik yang mengandungi etomidate, kata seorang pendakwa bagi pihak Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Etomidate ialah sejenis ubat bius dengan kesan segera yang digunakan dalam prosedur perubatan. Ia disenaraikan sebagai racun dan penjualannya dikawal. Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata bulan lalu bahawa Singapura sedang berusaha untuk menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Kesan sampingan etomidate termasuk rasa loya dan muntah-muntah, pergerakan atau kekejangan otot tanpa kawalan, perubahan pada pernafasan dan tekanan darah, serta sawan dan psikosis yang boleh membahayakan kesihatan.

Sehingga 30 Jun, HSA sudah mengesan sebanyak 28 kes melibatkan etomidate tahun ini.

Mohammed Akil pada Rabu mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki 100 pod rokok elektronik berasingan untuk dijual, satu tuduhan memiliki 569 bekas pod kosong untuk dijual, 534 komponen pod, dan 1,485 penutup pod, serta satu tuduhan memiliki 26.4 gram serbuk putih yang mengandungi etomidate untuk dijual.

Empat lagi tuduhan serupa akan dipertimbangkan apabila hukuman dijatuhkan.

Dia juga mengaku bersalah atas satu tuduhan membuat kenyataan palsu kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) apabila memohon pasport baharu.

Ini selepas pasportnya dirampas oleh pihak berkuasa sementara siasatan dijalankan ke atasnya.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Mohammed Akil berbohong untuk mendapatkan pasport baharu bagi melawat teman wanitanya di Johor Bahru.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Mohammed Akil mendakwa bertemu dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Joe pada Oktober 2024 ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru. Joe menawarkan pekerjaan kepadanya, di mana dia ditugaskan untuk menyediakan dan menjual pod vape.

Joe mengaturkan penghantaran bagi semua peralatan yang diperlukan ke rumah Mohammed Akil. Untuk menyediakan pod-pod tersebut, dia akan mencampurkan cecair "e-liquid" dengan serbuk etomidate dan menggunakan picagari untuk memasukkan campuran itu ke dalam pod.

Joe akan memberikan nombor telefon Mohammed Akil kepada pelanggan berpotensi, yang kemudiannya akan menghubunginya secara langsung.

Mohammed Akil dibayar sejumlah wang untuk perkhidmatannya.

Dia sudah menyediakan 100 pod dan meletakkannya di dalam beg kertas untuk dihantar kepada seorang pelanggan pada 11 Disember 2024. Beg itu ditinggalkan di luar unitnya dan dia meminta pelanggan tersebut untuk menghantar seseorang bagi mengambilnya. Itu merupakan pesanan kedua yang dikirimnya, dengan pesanan pertama juga melibatkan sebanyak 100 pod.

Keputusan hukuman ke atas Mohammed Akil ditangguhkan ke 26 Ogos.

Bagi kesalahan menjual racun tanpa lesen, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita