Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki elak NS lebih 10 tahun dihukum penjara; pulang ke SG selepas perniagaan di Hong Kong gagal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang warga Singapura yang dilahirkan di sini namun tinggal di Hong Kong dan mengelak tanggungjawab Perkhidmatan Negaranya (NS) selama lebih 10 tahun, kemudian memilih untuk kembali ke Singapura demi keluarga selepas perniagaannya terjejas akibat pandemik COVID-19.

Vin Lau Jun Sheng, 29 tahun, tahu dia mungkin dipenjara namun berbincang tentang hal tersebut bersama isterinya dan memutuskan bahawa "pilihan terbaik" adalah untuk menjadi warga Singapura.

Dia dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan pada Jumaat (28 Apr) selepas mengaku bersalah terhadap satu dakwaan di bawah Akta Pendaftaran kerana gagal pulang ke Singapura dari Ogos 2010 hingga Oktober 2020 meskipun permit keluarnya sudah tamat tempoh. Satu lagi tuduhan diambil kira sewaktu menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Lau dilahirkan di Singapura dan bapanya seorang warga Hong Kong manakala ibunya warga Singapura.

Ibu bapanya bercerai pada sekitar 1997, ketika dia berusia tiga tahun. Bapanya kemudian membawa Lau ke Hong Kong, manakala ibunya tetap tinggal di Singapura.

Lau terus tinggal di Hong Kong selepas permit keluarnya tamat tempoh. Dia mendaftarkan diri untuk NS pada September 2010 dan ibunya memohon penangguhan di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) sementara menunggu anak lelakinya melepaskan kerakyatan Singapura.

Namun permohonan tersebut tidak lengkap kerana ibunya tidak menghantar beberapa dokumen yang diperlukan.

Pihak berkuasa menghantar surat susulan meminta Lau melaporkan diri ke CMPB, namun ibunya memberitahu pihak CMPB bahawa Lau enggan pulang ke Singapura.

Sekitar Mac 2011, Lau tidak lagi berhubungan dengan ibunya. Warta polis dan senarai hitam dikeluarkan terhadapnya.

BERHUBUNG SEMULA DENGAN IBU

Lau menjalin semula hubungan dengan ibunya di Facebook sembilan tahun kemudian, sekitar Mac 2020. Ketika itu dia sudah berkahwin, mempunyai seorang anak, dan mengendalikan kedai memperbaiki kereta di Hong Kong.

Namun kedai itu terpaksa ditutup pada Ogos 2020 selepas perniagaan itu terjejas pandemik. Lau memberitahu ibunya bahawa dia ingin pulang ke Singapura bersama isteri dan anaknya supaya mereka dapat kerakyatan Singapura.

Lau adalah pesalah ke-22 yang dihukum penjara kerana mengelak tanggungjawab NS sejak Mahkamah Tinggi menetapkan rangka kerja hukuman bagi pesalah NS pada 2017.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) menyatakan ia mengambil pendirian tegas terhadap kesalahan tersebut.

"Semua warganegara Singapura dan Penduduk Tetap (PR) lelaki mempunyai kewajipan untuk menjalankan NS dan adalah penting NS mendapat sokongan dan komitmen semua warga Singapura," menurut MINDEF.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan