Skip to main content

Singapura

Lelaki dituduh rosakkan kamera NEA dakwa dirinya sedang tidur di rumah semasa kejadian

Seorang lelaki berusia 45 tahun yang berdepan dakwaan jenayah merosakkan kamera penguat kuasa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di kolong blok perumahan awam di Sembawang memberitahu mahkamah daerah, setelah mengaku bersalah pada Khamis (24 Jun), bahawa dia sedang tidur pada waktu kejadian itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dituduh rosakkan kamera NEA dakwa dirinya sedang tidur di rumah semasa kejadian

Gambar hiasan (Gambar: Ibrahim Rifath/Unsplash)

Diterbitkan : 25 Jun 2021 10:48PM Dikemas Kini : 25 Jun 2021 10:52PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 45 tahun yang berdepan dakwaan jenayah merosakkan kamera penguat kuasa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di kolong blok perumahan awam di Sembawang memberitahu mahkamah daerah, setelah mengaku bersalah pada Khamis (24 Jun), bahawa dia sedang tidur pada waktu kejadian itu.

Mahkamah diberitahu bahawa kamera itu, yang dihala ke flat dua bilik Mak Wai Kong dan dua lagi unit di bawahnya setelah NEA menerima aduan mengenai perbuatan membuang puntung rokok dari tingkat tinggi di kawasan itu, dirosakkan pada 29 Februari tahun lalu.

Sekurang-kurangnya dua penduduk di blok HDB di Canberra Street ternampak seorang lelaki, yang wajahnya ditutup dengan sehelai kain hitam, sedang menghentak kamera itu beberapa kali dengan tukul sekitar pukul 6.20 pagi.

Mak pada mulanya menafikan dia melakukan kesalahan itu dan hanya mengaku bahawa dia yang melakukannya semasa temu bual ketiganya dengan polis.

Ini setelah polis menunjukkan kepadanya petikan gambar dari video yang menunjukkan dirinya memakai pakaian yang sama seperti lelaki yang merosakkan kamera tersebut.

Mak juga memberitahu pihak berkuasa bahawa dia memukul kamera itu kerana dia tidak menyukainya.

Kamera tersebut kemudiannya diperbaiki dengan anggaran kos S$2,000.

Oleh kerana Mak mempertikaikan kenyataan faktanya pada Khamis, pengakuannya ditolak oleh Hakim Daerah Christopher Goh. Hakim kemudian menasihatkan agar Mak, yang tidak diwakili peguam, supaya mendapatkan nasihat guaman.

Perkara itu diarahkan agar dibicarakan kembali Sidang Praperbicaraan (PTC)

Secara berasingan, Mak juga mengaku menyamar sebagai isterinya ketika itu dalam satu kiriman emel kepada Mahkamah Keadilan Keluarga pada 2018, dalam percubaan untuk melindungi aset-asetnya daripada prosiding perceraian mereka yang sedang berlangsung. Pasangan tersebut sejak itu sudahpun bercerai.

Apabila Mak membantah keputusan Hakim Daerah Goh dan mengatakan bahawa "adalah terbaik untuk mengaku bersalah atas kedua-dua tuduhan", hakim menjawab bahawa tidak selamat untuk mahkamah menerima pengakuannya.

Jika sabit kesalahan melakukan perbuatan nakal yang mengganggu perkhidmatan utama, dia boleh dipenjara hingga 10 tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan mengada-adakan bukti bagi prosiding kehakiman, dia boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan didenda. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita