Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dituduh hadang, tendang dan baling telefon bimbit ke arah bas ulang-alik lapangan terbang

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dituduh hadang, tendang dan baling telefon bimbit ke arah bas ulang-alik lapangan terbang

Xu Yixuan tiba di Mahkamah Negara pada 14 Mac 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 14 Mar 2025 07:28PM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 07:36PM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang berkelakuan mengancam terhadap pemandu bas ulang-alik di Lapangan Terbang Changi pada Januari didakwa di mahkamah pada Jumaat (14 Mac).

Xu Yixuan berada di ruang bas berlepas di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 31 Januari apabila dia dikatakan menghalang bas ulang-alik dan mendekatinya.

Menurut polis, Xu marah kerana bas ulang-alik itu bertukar lorong laluan di Airport Boulevard.

Pemandu kenderaan kereta sewa privet berusia 30 tahun itu didakwa mengekori bas ulang-alik tersebut dan menggunakan kenderaannya untuk menghalangnya.

Xu kemudian keluar dari kenderaannya dan mula membuat isyarat dan menjerit kata-kata kesat kepada pemandu bas ulang-alik tersebut, menurut polis.

Apabila pemandu bas ulang-alik berkenaan cuba memandu, Xu didakwa menendang pintu penumpang bahagian depan dan melempar telefon bimbitnya dengan agresif ke arahnya.

Polis dimaklumkan tentang pertikaian itu dan Xu ditangkap di tempat kejadian.

Di mahkamah pada Jumaat, Xu dikenakan satu pertuduhan menyebabkan gangguan awam dan satu pertuduhan menggunakan tingkah laku mengancam terhadap pekerja perkhidmatan awam. Ini adalah kerana dia didakwa menghentikan kenderaannya di hadapan bas, yang menyebabkan gangguan, dan atas tindakan agresif terhadap bas tersebut.

Xu memberitahu mahkamah bahawa dia akan mengaku bersalah. Dia berkata dia akan memohon khidmat peguam dari Skim Bantuan Guaman Jenayah.

Dia akan kembali ke mahkamah pada 4 April.

Jika sabit kesalahan melakukan gangguan awam, Xu boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$2,000 (US$1,500), atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan berkelakuan mengancam terhadap pekerja perkhidmatan awam, dia boleh dipenjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan