Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dituduh bunuh 'pasangan' 79 tahun ingin dihukum mati, namun pertikaikan fakta di mahkamah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 85 yang dituduh menetak 'pasangan'nya menggunakan parang sehingga mati tidak berjaya dalam pengakuan bersalah bagi tuduhan membunuh tanpa niat pada Jumaat (23 Sep).

Ini setelah lelaki berkenaan membantah beberapa kenyataan fakta yang dikemukakan. 

Pak Kian Huat, asalnya dituduh membunuh Cik Lim Soi Moy, 79 tahun, di sebuah flat di Blok 191, Lorong 4 Toa Payoh pada September 2019.

Perbicaraan diadakan pada Jumaat (23 Sep) bagi Pak mengaku bersalah atas tuduhan lebih ringan, iaitu  membunuh tanpa niat. 

Menurut kenyataan fakta yang dibacakan di mahkamah, Pak mempunyai empat anak bersama Cik Lim setelah bertemunya semasa mereka masih remaja lagi. Namun, mereka bukan pasangan suami isteri, tetapi telah menetap di flat yang sama selama lebih daripada 20 tahun. 

Pak dituduh menetak Cik Lim sehingga mati menggunakan parang setelah bergaduh tentang bilik yang mereka gunakan di dalam flat tersebut. 

Pak membuat beberapa bantahan dengan kuat apabila jurubahasa Mandarin membacakan kenyataan fakta kepadanya. 

Pak mempertikaikan kenyataan bahawa terdapat banyak darah di tempat kejadian.

Apabila jurubahasa membacakan kenyataan fakta tentang 54 kesan luka pada tubuh mangsa, Pak berkata: "Saya tidak mengaku. Tidak begitu banyak (kesan luka). Tidak ada banyak luka." 

Mendengar kata-kata Pak, Hakim Aedit Abdullah berkata: "Beliau adalah pegawai perubatan yang mengira jumlah luka. Adakah awak berkata yang awak mengira luka setelah menikam 'isteri' awak?" 

Pak membalas: "Macam mana saya kira luka pula, tetapi saya rasa saya tidak begitu berupaya." 

Apabila ditanya bagaimana dia tahu jumlah luka yang ada di badan mangsa bukan 54, Pak tergelak. 

"Saya tidak mungkin begitu mahir membunuhnya. Saya berhenti apabila melihat dia sudah tidak bernafas lagi," katanya. 

Hakim kemudian memberitahu Pak, bahawa jika dia tidak mengaku kepada kenyataan berkenaan, maka beliau tidak boleh menerima pengakuan bersalahnya. 

Pak kemudian perlu melalui perbicaraan atas tuduhan asal membunuh Cik Lim dan berdepan dengan hukuman mati 

Pak berkata: "Baiklah, hukuman mati." 

Apabila Pak sekali lagi membantah satu lagi bahagian kenyataan fakta, Hakim Abdullah menaikkan suaranya dan berkata: "Saya sudah amat bersabar dengan awak. Awak harus berkelakuan baik di mahkamah. Awak bukan di kedai kopi, awak bukan di mana-mana tempat lain, awak sekarang di bilik mahkamah, awak akan ikut tata tertib mahkamah, awak faham?" 

Hakim menangguhkan perbicaraan bagi keputusan sama ada dikenakan tuduhan asal membunuh ataupun jika perbicaraan Newton harus diadakan untuk menghuraikan maklumat yang bercanggah dalam rayuan yang sedia ada. 

Perbicaraan Newton dilakukan untuk menghuraikan isu-isu tertentu yang tidak dipersetujui kedua-dua pihak pembela dan pendakwa. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan