Lelaki dituduh bunuh Felicia Teo direman bagi penilaian psikiatri setelah selesai siasatan polis
Lelaki yang dituduh membunuh remaja Felicia Teo pada 2007 akan direman untuk penilaian psikiatri setelah polis memberitahu mahkamah pada Khamis (7 Jan) bahawa pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan.

Ahmad Danial Mohamed Rafa'ee (kiri) dan Cik Felicia Teo (Gambar: LinkedIn/Daniel Enemiko, Blogger/findfelicia)
SINGAPURA: Lelaki yang dituduh membunuh remaja Felicia Teo pada 2007 akan direman untuk penilaian psikiatri setelah polis memberitahu mahkamah pada Khamis (7 Jan) bahawa pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan.
Ahmad Danial Mohamed Rafa'ee, 35, dituduh menyebabkan kematian Cik Teo antara 1.39 pagi dengan 7.20 pagi di sebuah flat di tingkat 10 Blok 19, Marine Terrace, pada 30 Jun 2007.
Dia dituduh membunuhnya dengan rakan subahatnya Ragil Putra Setia Sukmarahjana, yang masih berleluasa dan memadamkan akaun-akaun media sosialnya setelah kes pertama kali dilaporkan pada Disember.
Pendakwa polis memberitahu mahkamah pada Khamis bahawa penahanan Ahmad Danial tidak lagi diperlukan dan memohon agar dia direman untuk penilaian psikiatri.
Peguam bela Shashi Nathan dari Withers KhattarWong berkata bahawa beliau sudah menemui pegawai siasatan pada pagi Khamis.
"Sekarang selepas polis menyelesaikan siasatan, saya meminta akses kepada anak guam saya," katanya. "Secara rasmi saya ingin memaklumkan bahawa CID (Jabatan Siasatan Jenayah) sangat membantu. Minggu lalu, setelah perbicaraan, mereka mengaturkan untuk saya mengadakan pertemuan Zoom dengan tertuduh, jadi saya sudah berbicara dengannya."
Ahmad Danial, yang hadir melalui pautan video dengan berbaju merah, akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 28 Januari.
Cik Teo, yang sepatutnya berusia 33 tahun pada tahun ini, dilaporkan hilang pada 3 Jul 2007 oleh ibunya. Polis menyatakan bahawa gadis itu kali terakhir dilihat di rumah Encik Ragil di Marine Terrace.
Pelajar seni halus Kolej Seni Lasalle tidak dapat ditemui walaupun siasatan menyeluruh dan pencarian dilancarkan oleh rakan-rakan dan keluarganya.
Oleh kerana tiada fakta pada masa itu untuk mengaitkan kedua-dua lelaki tersebut dengan kehilangan Cik Teo, ia diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan warta polis dikeluarkan untuk mencarinya.
Ahmad Danial ditangkap pada Disember 2020 setelah petunjuk baru muncul apabila kes itu diserahkan kepada CID, dengan salah satu barang milik Cik Teo dikaitkan dengan Ahmad Danial.
Polis bagaimanapun tidak memberikan maklumat terkini di mahkamah pada Khamis mengenai hasil pencarian jasad mangsa.
Siasatan awal menunjukkan bahawa mangsa meninggal dunia sebelum aduan dibuat pada awal Julai 2007, dan kedua-dua lelaki itu didakwa membuang mayatnya.
Sekiranya didapati bersalah melakukan pembunuhan, Ahmad Danial boleh dijatuhi hukuman mati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.