Skip to main content

Singapura

Lelaki dituduh bunuh anak perempuan berusia 5 tahun yang berbulan-bulan dikurung di tandas

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dituduh bunuh anak perempuan berusia 5 tahun yang berbulan-bulan dikurung di tandas

Mahkamah Tinggi Singapura. (Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

Diterbitkan : 06 Jul 2023 12:30AM
SINGAPURA: Seorang lelaki dituduh membunuh anak perempuannya yang berusia lima tahun, selepas berbulan-bulan menganiaya mangsa dengan mengurungnya di dalam tandas bersama adik lelakinya, dalam apa yang disifatkan pihak pendakwa sebagai "persekitaran sangat kotor".

Lelaki berusia 43 tahun itu tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah demi melindungi identiti mangsa mahupun adik lelakinya yang masih hidup dan mungkin akan menjadi saksi bagi tuduhan lain.

Suspek dibicarakan pada Rabu (5 Jul) atas tuduhan membunuh di bawah Seksyen 300(c) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan rotan.

Dia berdepan lagi 25 tuduhan bagi kesalahan seperti menganiaya anak perempuan dan lelakinya dengan mengurung mereka di dalam tandas selama sekitar 10 bulan, serta menumbuk anak lelakinya ketika dia berusia dua tahun. Namun tuduhan-tuduhan itu diketepikan buat sementara waktu sedang dia dibicarakan bagi tuduhan membunuh.

Dalam ucapan pembukaan pihak pendakwa, mangsa dan adik lelakinya dikatakan anak hasil perkahwinan pertama suspek itu.

Selepas bercerai, lelaki itu berkahwin buat kali kedua. Isteri barunya mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan lain.

Pada 2014, dua anak kandung lelaki terbabit diletakkan di bawah jagaan titipan Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak.

Bagaimanapun, anak-anak itu kembali di bawah penjagaannya pada 2015 dan tinggal di sebuah flat satu bilik bersama suspek dan isteri barunya.

Pada masa kesalahan dilakukan, isteri suspek melahirkan seorang lagi anak perempuan. Jadi dua anak kandung lelaki itu mempunyai dua adik-beradik tiri.

INI YANG MUNGKIN DILAKUKAN SUSPEK

Menurut kes pendakwa, tertuduh sebenarnya mahu dua anak kandungnya dititipkan atau diambil sebagai anak angkat oleh keluarga lain.

Pada 2015, dia mula menganiaya mangsa dan adik lelakinya, kata Timbalan Pendakwa Raya Han Ming Kuang.

Beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia, mangsa dan adik lelakinya tinggal dalam persekitaran sangat kotor. Pada mulanya mereka diarah duduk di satu sudut rumah, di bawah sebuah tingkap, di mana mereka banyak menghabiskan masa di sana.

Mereka kemudian dipindahkan ke tandas, di mana mereka dikurung dalam keadaan "boleh dikatakan bogel", kata Encik Han.

"Mereka menghabiskan waktu malam dengan tidur di tandas. Mereka hanya dibenarkan keluar untuk makan pada waktu siang, atau apabila suspek atau isterinya mahu menggunakan tandas," tambahnya.

Pasangan itu memasang kamera litar tertutup yang merakam pemandangan dalam tandas supaya mereka boleh memantau mangsa dan adik lelakinya.

Pada malam 10 Ogos 2017, isteri suspek menyuruh mangsa bersenam tetapi mangsa enggan berbuat demikian.

Suspek memutuskan untuk "menangani situasi ini" lalu pergi ke tandas, di mana dia memukul kepala dan muka kanak-kanak itu, antara 9.00 malam 10 Ogos 2017 dengan awal pagi 11 Ogos 2017, dakwa Encik Han.

Pada sekitar 7.00 malam 11 Ogos 2017, suspek menyedari anak perempuannya meninggal dunia, menurut pendakwa.

Suspek kemudian membawa mangsa yang sudah tidak lagi bernyawa ke Hospital Besar Singapura, selepas lebih 15 jam mendapat tahu mangsa meninggal dunia.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita