Skip to main content

Singapura

Lelaki dituduh bantu individu ceroboh masuk konsert Taylor Swift kini didakwa jual tiket palsu

Seorang lelaki yang dituduh membantu tiga individu menceroboh masuk konsert Taylor Swift tanpa tiket, kini dituduh menjual kepada salah seorang daripada mereka tiket VIP palsu dan meyakinkan pengawal keselamatan di tempat konsert itu bahawa tiket tersebut adalah tulen.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki yang dituduh membantu tiga individu menceroboh masuk konsert Taylor Swift tanpa tiket, kini dituduh menjual kepada salah seorang daripada mereka tiket VIP palsu dan meyakinkan pengawal keselamatan di tempat konsert itu bahawa tiket tersebut adalah tulen.

Yang Chenguang, seorang rakyat China berusia 29 tahun, didakwa pada 6 Mac lalu kerana membantu tiga orang - Shangguan Linmo, Hu Zhijin dan Yang Junhao - memasuki tempat konsert di Hab Sukan Singapura pada 4 Mac lalu.

Ia merupakan hari ketiga konsert Eras Tour Taylor Swift di Singapura.

Dia dipercayai mengalihkan perhatian seorang pengawal keselamatan dengan berbual dengannya manakala rakan subahatnya, Li Xiaowei, 45 tahun, menahan pintu gerbang bagi membolehkan tiga individu tersebut memasuki tempat konsert berkenaan.

Namun, tuduhan yang dikenakan terhadap Yang Chenguang kini menyatakan bahawa "dia telah memasuki kawasan pemeriksaan pengunjung" di Hab Sukan Singapura pada 4 Mac lalu untuk memperdayakan pengawal keselamatan yang ditempatkan dalam Stadium Negara.

Dia didakwa memperdayakan mereka supaya mempercayai bahawa ketiga-tiga individu tersebut mempunyai tiket Eras Tour Singapura yang sah, sekaligus membolehkan mereka memasuki tempat konsert tersebut.

Yang Chenguang juga dikenakan tuduhan kedua yang baharu pada Rabu (20 Mac).

Dia dituduh memperdayakan Yang Junhao - salah seorang individu dipercayai memasuki tempat konsert tanpa tiket sah - untuk mempercayai bahawa dia membeli tiga tiket VIP Eras Tour Singapura yang sah.

Penipuan itu dipercayai berlaku pada hari sama konsert itu berlangsung.

Menurut tuduhan itu, Yang Chenguang menyuruh Yang Junhao membuat bayaran 12,000 yuan (S$2,240) kepada seorang pengguna Alipay bagi mendapatkan tiga tiket tersebut.

Dia berselindung bahawa dia sebenarnya tidak mempunyai tiket itu dan memperdayakan Yang Junhao untuk membuat bayaran 12,000 yuan melalui Alipay, menurut kertas pertuduhan.

Selepas dikenakan tuduhan baharu, Yang Chenguang menyatakan beliau akan mengaku bersalah.

Sementara itu, rakan subahatnya iaitu Li, di mana tuduhan yang dikenakan ke atasnya juga diubah untuk disertakan dakwaan beliau memperdayakan pengawal keselamatan, juga telah menyatakan hasrat untuk mengaku bersalah.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman sejak 6 Mac lalu.

Atas tuduhan bersubahat melakukan pencerobohan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan menipu, Yang Chenguang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita