Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki ditangkap tahan & acu pisau pada leher wanita di Yishun Ring Road

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ditangkap tahan & acu pisau pada leher wanita di Yishun Ring Road
Diterbitkan : 09 Jan 2023 11:57AM Dikemas Kini : 09 Jan 2023 02:58PM

SINGAPURA: Seorang lelaki 42 tahun ditangkap pagi ini (9 Jan) selepas menahan seorang wanita dengan mengacukan pisau pada lehernya di Yishun Ring Road.

Menurut polis pihaknya memberi respons kepada panggilan meminta bantuan sekitar pukul 7.35 pagi, sambil menambah lelaki itu kemudian dilucutkan senjatanya dan ditangkap.

Wanita berkenaan, berusia 60 tahun, mengalami kecederaan ringan dan enggan dibawa ke hospital.

"Pisau dirampas dan dijadikan bukti kes," menurut polis, menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Berdasarkan siasatan awal, lelaki dan wanita berkenaan tidak saling mengenal antara satu sama lain."

Video-video yang tersebar di media sosial menunjukkan lelaki itu mengacukan pisau pada leher wanita tersebut di luar sebuah kedai kopi, sementara sekurang-kurangnya empat pegawai polis bercakap dengannya.

Dalam satu lagi video, sekurang-kurangnya lapan pegawai polis dilihat menahan lelaki itu, dengan lagi seorang lelaki orang awam membantu mereka.

Siasatan polis sedang dijalankan.

LELAKI EKORI MANGSA

Apabila Mediacorp melawat kedai kopi tersebut, tiada sebarang tanda kejadian tersebut di sana, walaupun masih ada beberapa pegawai polis yang masih kelihatan di tempat meletak kereta yang berhampiran.

Penyelia kedai kopi Cindy Tan yang sudah bekerja di kedai kopi itu selama 10 tahun memberitahu wartawan dalam bahasa cina bahawa mangsa merupakan pelanggan tetap.

Seorang lagi pemilik gerai di kedai kopi itu, Cik Nor Linda Abdullah, 60 tahun berkata bahawa mangsa tinggal berdekatan dan selalu membeli makanan bersama sepupunya.

Cik Linda menambah bahawa selepas kejadian, beliau berbual dengan mangsa yang menyatakan bahawa beliau tiba dari lif kolong blok dan mendapati lelaki itu berada di sana.

Cik Tan menyatakan bahawa pelangganya memberitahu bahawa lekaki tersebut mengekori mangsa di kawasan itu. Mangsa dikatakan menyuruh lelaki itu supaya tidak mengekorinya namun dia semakin dekat dan mengacu pisau pada leher wanita itu sebelum mereka pergi ke kedai kopi tersebut.

Pekerja gerai di kedai kopi itu, Encik Suppiah, 63 tahun berkata beliau melihat pasangan itu berjalan masuk ke kedai kopi dari blok berdekatan. Lelaki tersebut dilihat ada rokok di mulutnya sambil menarik wanita berkenaan.

Kedua-dua Encik Suppiah dan Cik Tan berkata mereka tidak pernah melihat lelaki itu.

Cik Tan menyatakan bahawa mangsa menyebut tentang beberapa perkara dalam bahasa Melayu tetapi lelaki itu mendiamkan diri. Kira-kira setengah jam berlalu sebelum dia rebah dengan sendiri, tambah Cik Tan. Pegawai polis kemudian menahannya.

Selepas lelaki itu ditahan, Cik Tan memberi mangsa secawan teh dan beliau mulai tenang.

Cik Tan juga memberitahu Mediacorp bahawa terdapat pergaduhan di kawasan itu dan beberapa remaja mengganggu ketenteraman pada waktu malam. Pegawai polis pernah datang ke kedai kopi tersebut sebelum ini, Namun ini merupakan kali pertama insiden sedemikian berlaku sepanjang bertahun-tahun beliau bekerja di sana, katanya.

Sumber : CNA/NK/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan