Lelaki ditangkap setelah serang polis, pegawai tambahan di Hospital Besar Sengkang
Seorang lelaki berusia 26 tahun ditangkap pada Selasa (11 Feb) setelah beliau menyerang para pegawai polis dan seorang pegawai polis tambahan di Hospital Besar Sengkang.

Hospital Besar Sengkang. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 26 tahun ditangkap pada Selasa (11 Feb) setelah beliau menyerang para pegawai polis dan seorang pegawai polis tambahan di Hospital Besar Sengkang.
Lelaki itu sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital berkenaan pada kira-kira pukul 6 pagi apabila beliau "bertindak ganas terhadap kakitangan perubatan", menurut kenyataan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (12 Feb).
Seorang pegawai polis tambahan yang ditugaskan di hospital itu dipanggil untuk memberi bantuan. Namun, lelaki itu berpaling pada pegawai berkenaan dan menumbuk beliau pada mata kanannya, menyebabkan luka, menurut polis.
Hospital tersebut kemudian menghubungi polis.
"Apabila polis tiba di hospital tersebut, lelaki itu melemparkan kata-kata kesat kepada para pegawai polis dan menumbuk dan menendang mereka," kata SPF.
Lelaki itu kemudian diberkas kerana menyerang dan menganiaya para pegawai polis dan pegawai polis tambahan, dan akan didakwa pada Rabu.
Jika didapati bersalah menyebabkan kecederaan dengan sengaja bagi menghalang pegawai awam daripada melakukan tugasnya, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda atau sebat.
Jika didapati bersalah menghina seorang pegawai awam, lelaki itu boleh dikenakan denda S$5,000, penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Menurut SPF, ia tidak akan tidak bertolak ansur terhadap sebarang serangan fizikal atau cercaan terhadap para pegawai awam atau pegawai perkhidmatan awam dan akan mengambil tindakan terhadap para pesalah.
"Sedang Singapura menangani situasi virus korona baru, para kakitangan jagaan kesihatan dan pegawai di barisan hadapan bekerja keras, untuk menyediakan penjagaan kepada para pesakit dan melindungi Singapura," katanya.
"Dengan melakukan demikian, mereka juga meletakkan risiko pada kesihatan mereka. Bukan sahaja mereka harus dapat melakukan tugas tanpa dianiayai, tetapi mereka layak menerima penghargaan tertinggi dan sokongan serta galakan oleh kami semua. Marilah kita memberi sokongan kepada mereka," menurut SPF.
Kini terdapat 47 kes jangkitan virus korona baru yang disahkan di Singapura, termasuk 25 kes jangkitan tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.