Skip to main content

Singapura

Lelaki ditangkap setelah serang 4 orang dengan pisau di flat Bukit Merah

Seorang lelaki bersenjatakan pisau ditangkap setelah dikatakan menyerang empat orang di sebuah flat di Bukit Merah pada Ahad (6 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jun 2021 02:54PM Dikemas Kini : 06 Jun 2021 09:37PM

SINGAPURA: Seorang lelaki bersenjatakan pisau ditangkap setelah dikatakan menyerang empat orang di sebuah flat di Bukit Merah pada Ahad (6 Jun).

Pihak polis menyatakan pegawai yang sedang membuat rondaan di kawasan itu dihampiri seorang wanita 59 tahun dengan tangan yang berlumuran darah di tingkat satu Blok 2 Jalan Bukit Merah Road pada sekitar 6.00 pagi.

Siasatan awal mendapati bahawa suspek, warga Singapura berusia 48 tahun, memasuki sebuah flat di tingkat dua semasa empat orang sedang tidur lalu menyerang dua wanita dengan sebilah pisau. Dua lelaki yang tinggal di dalam rumah itu membantu kedua-dua wanita tersebut, menurut pihak polis.

Penyerang berjaya ditundukkan dan ditahan polis kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya, menyimpan senjata berbahaya dan kesalahan berkaitan dadah.

Tiga mangsa cedera - wanita warga Malaysia 59 tahun, wanita warga Vietnam berusia 39 tahun dan seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun - mengalami kecederaan liang tikaman Individu keempat, seorang remaja lelaki 18 tahun warga Malaysia, terjatuh dari tangga semasa melarikan diri dari tempat kejadian.

Seorang lagi lelaki yang tidur di bilik berasingan terjaga lalu melarikan diri untuk meminta bantuan polis. Dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kelima-lima merupakan penyewa flat itu.

"Lelaki itu dipercayai bertindak secara sendirian dan siasatan awal tidak menunjukkan kejadian ini sebagai tindakan keganasan," kata Pasukan Polis Singapura dalam satu kenyataan berita.

"Dia didapati ada beberapa kesalahan dadah sejak 1991, dan kali terakhir dibebaskan dari penjara pada 6 Oktober 2020, atas kesalahannya yang terakhir berkaitan dengan dadah, di mana dia dikenakan tujuh tahun penjara dan enam kali rotan."

Polis menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat kes tersebut dan meningkatkan rondaan di kawasan itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita