Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki ditangkap mohon kerja gaji tinggi guna sijil palsu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Helah seorang lelaki yang memalsukan sijil ijazahnya sejak 2009 untuk mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi terbongkar pada 2020, apabila satu firma binaan menyemak kelayakannya daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Yeoh Keng Swee, 55 tahun, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan pada Khamis (24 Nov). Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan pemalsuan bagi tujuan menipu, dengan 10 lagi pertuduhan diambil kira.

Yeoh memalsukan sejumlah sijil ijazah daripada universiti seperti NTU dan Universiti Nasional Singapura (NUS) bagi subjek kejuruteraan dan undang-undang, supaya dapat memohon pekerjaan seperti jawatan pengurusan dan ketua pegawai kewangan.

Yeoh akan mencari salinan PDF dokumen yang diingini dan akan mencetaknya sebagai templat. Kemudian dia akan mencetak namanya dan maklumat lain kepada kertas yang lain.

Yeoh akan hanya mengambil maklumat yang diperlukan dan menampalkannya pada templat itu, sebelum mencetak untuk membuat dokumen palsu.

Menurut kertas tuduhan, jenayah itu bermula sejak 2009, apabila dia memalsukan sijil ijazah Serjana Muda Perakaunan yang kononnya dikeluarkan oleh NTU.


TEMU DUGA YANG MEMBONGKAR PENIPUANNYA

Pada November 2020, Yeoh memalsukan beberapa dokumen, termasuk sijil Sarjana Muda Undang-Undang dari NUS dan sijil Sarjana Muda Kejuruteraan (Sivil) dari NTU.

Yeoh menyerahkan dokumen palsu itu sebagai sebahagian daripada permohonan pekerjaan kepada Success Forever Construction and Maintenance bagi jawatan pengurus projek binaan.

Dia menghadiri temu duga pada Disember 2020 dan mendakwa terlupa membawa dokumen asli.

Selepas itu, dia menghadiri dua lagi temu duga, namun didapati tidak cekap dalam menjawab soalan yang menguji pengetahuan teknikalnya.

Setelah terdengar penemu duga dan seorang majikan berbincang mengenai kesahihan kelayakannya, dia menarik balik permohonan kerja itu. Dia menyuruh penemu duga tersebut untuk memusnahkan dokumen yang diserahkan sebelum itu.

Pada Januari 2021, seorang wakil membuat aduan polis bagi pihak NTU, dan menyatakan bahawa pihak universiti mendapat permintaan bagi pengesahan ijazah sarjana muda dan mendapati bahawa sijil yang diserahkan oleh Yeoh dipalsukan.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan