Skip to main content

Singapura

Lelaki ditangkap, didakwa pancitkan tayar kenderaan di tempat letak kereta Woodlands

SPF dimaklumkan mengenai kes berkelakuan nakal di tempat letak kereta bertingkat di Woodlands Drive 14 pada kira-kira 12.50 tengah hari Selasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ditangkap, didakwa pancitkan tayar kenderaan di tempat letak kereta Woodlands

Salah satu kereta yang tayarnya pancit di sebuah tempat letak kereta di Woodlands Drive 14. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 21 Nov 2024 12:44AM Dikemas Kini : 21 Nov 2024 12:45AM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditangkap kerana didakwa memancitkan tayar sekurang-kurangnya lima kenderaan di tempat letak kereta di Woodlands, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (20 Nov).

SPF berkata ia dimaklumkan mengenai kes berkelakuan nakal di tempat letak kereta bertingkat di Woodlands Drive 14 pada kira-kira 12.50 tengah hari Selasa, selepas seorang pemilik kereta mendapati empat tayar kenderaannya pancit.

Sebuah risalah juga ditemui pada cermin depan keretanya.

Siasatan awal menunjukkan sekurang-kurangnya empat kenderaan lain di kawasan sekitar turut terjejas.

“Melalui siasatan susulan dan dengan bantuan imej daripada kamera polis, pegawai dari Bahagian Polis Woodlands mengenal pasti identiti lelaki itu dan memberkasnya dalam tempoh lapan jam selepas laporan itu,” kata polis dalam satu kenyataan media.

Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Khamis atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$2,000, atau kedua-duanya sekali.

Gambar seperti salinan risalah itu dikongsi dalam kumpulan Facebook Complaint Singapore.

Kandungan dalam risalah itu mengaitkan perbuatan memancitkan tayar dengan pergerakan yang tidak menggalakkan penggunaan SUV kerana kesan negatifnya terhadap alam sekitar.
Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita