Lelaki ditangkap cuba seludup rokok dalam roti di Woodlands
Seorang lelaki warga Malaysia diberkas pada Sabtu (16 Feb) kerana cuba membawa masuk kotak-kotak rokok yang tidak dibayar cukai, di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

(Gambar: ICA)
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia diberkas pada Sabtu (16 Feb) kerana cuba membawa masuk kotak-kotak rokok yang tidak dibayar cukai, di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Kesemuanya tujuh kotak rokok ditemui bersama lelaki berusia 38 tahun itu, termasuk lima kotak yang disembunyikan dalam sebuku roti yang dipotong tengahnya. Demikian menurut catatan Facebook Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) hari ini.
Selain daripada lima kotak rokok yang disembunyikan dalam roti tersebut, para pegawai juga menemui sekotak lagi dalam kocek penunggang motosikal itu dan sekotak lagi dalam topi keledarnya.
Kes tersebut dirujuk ke Kastam Singapura bagi siasatan lanjut.
"ICA akan terus melakukan pemeriksaan keselamatan ke atas penumpang dan kenderaan di pusat-pusat pemeriksaan untuk mencegah sebarang percubaan menyeludup manusia, dadah, senjata, bahan letupan dan barang larangan lain," menurut pihak penguasa itu.
Insiden ini menyusuli satu kes serupa awal bulan ini yang membabitkan seorang lelaki 80 tahun yang ditangkap cuba menyeludup rokok tidak dibayar cukai dalam begnya, di Pusat Pelayaran Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.