Skip to main content

Singapura

Lelaki ditangkap bawa masuk penumpang dari Malaysia, rokok secara haram ke SG

Seorang lelaki Malaysia yang ditahan pihak Kastam Singapura di Pusat Pemeriksaan Woodlands kemudian didapati membawa masuk lima penumpang ke Singapura secara haram, selain mengimport rokok seludup.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ditangkap bawa masuk penumpang dari Malaysia, rokok secara haram ke SG

Bangunan Pusat Pemeriksaan Woodlands. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Seorang lelaki Malaysia yang ditahan pihak Kastam Singapura di Pusat Pemeriksaan Woodlands kemudian didapati membawa masuk lima penumpang ke Singapura secara haram, selain mengimport rokok seludup.

Bagi kesalahan berhubung rokok yang melibatkan lebih S$42,000 dalam bentuk duti eksais yang tidak dibayar di bawah Akta Kastam, Ng Choh Kit, 42 tahun, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan pada Isnin (1 Sep).

Bagi kesalahan berhubung tindakan membawa penumpang menyeberangi sempadan dari Malaysia, Ng didenda S$1,800 dan diharamkan daripada mendapatkan sebarang lesen memandu serta memandu apa-apa kenderaan di Singapura selama 12 bulan.

Ng gagal membayar denda tersebut dan akan menjalani tambahan enam hari penjara sebagai ganti.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Ng memandu sebuah kenderaan berdaftar Malaysia di zon ketibaan Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 4.40 petang pada 18 Mei tahun ini.

Apabila pihak Kastam Singapura menahan kenderaan itu, terdapat lima penumpang di dalamnya. Kes tersebut kemudian dirujuk kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bagi tuduhan berkaitan di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Ng membawa penumpang dari Jeti Mersing di Malaysia ke Singapura dengan tambang RM100 (S$30).

Pada masa itu, kenderaan yang digunakannya tidak didaftarkan sebagai kenderaan perkhidmatan awam seperti yang ditetapkan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya.

Kenderaan perkhidmatan awam termasuk kereta sewa privet, bas sewa privet, bas privet, bas sekolah dan teksi.

Walaupun kenderaan itu dilindungi dasar insurans oleh Allianz General Insurance Company Malaysia Berhad dari 21 Julai 2024 hingga 20 Julai 2025, dasar tersebut tidak meliputi penggunaan kenderaan itu bagi tujuan sewaan atau mendapatkan ganjaran.

Oleh itu, apabila Ng menggunakan kenderaan itu untuk membawa penumpang dan mengenakan tambang, tiada dasar insurans sah yang mematuhi Akta Kenderaan Bermotor (Risiko Pihak Ketiga dan Pampasan), kata pendakwa LTA.

Justeru itu, Ng melakukan kesalahan kerana menggunakan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen, selain menggunakan kenderaan tanpa perlindungan insurans yang sah.

Di bawah Akta Trafik Jalan Raya, seseorang tidak boleh menggunakan kenderaan sebagai kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen sah yang membenarkan penggunaannya.

Satu lagi pertuduhan kerana menggunakan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen vokasional yang sah turut dipertimbangkan.

Pendakwa LTA menuntut denda keseluruhan S$1,800 terhadap Ng, serta penggantungan selama 12 bulan daripada memegang atau mendapatkan sebarang kelas lesen memandu.

Ng yang tidak diwakili peguam, ditahan reman.

Dia memberitahu mahkamah bahawa isterinya menghidap barah rahim dan dia “terdesak untuk mendapatkan wang” untuknya.

Dia juga berkata bahawa dia perlu menjaga saudara-maranya yang lanjut usia dan merayu mahkamah agar memberi kelonggaran supaya dia dapat pulang dengan secepat mungkin untuk menjaga keluarganya.

Bagi kesalahan menggunakan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen yang sah, Ng boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$3,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menggunakan kenderaan tanpa insurans yang sah, dia boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,000, atau kedua-duanya. Ng juga boleh dilarang daripada memandu selama 12 bulan.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Malaysia mengatakan bahawa negara itu berhasrat untuk memperkenalkan perkhidmatan kereta sewa privet rentas sempadan dengan Singapura.

LTA memberitahu Mediacorp pada Julai, hanya penyedia berlesen dari kedua-dua negara boleh menawarkan perkhidmatan rentas sempadan, dengan kuota sebanyak 200 teksi ditetapkan bagi setiap negara.

Pada masa itu, LTA menyatakan bahawa terdapat hampir 300 teksi berdaftar Singapura dan Malaysia yang dilesenkan untuk perkhidmatan tersebut.

Mereka mesti menggunakan lokasi yang ditetapkan untuk menerima dan menurunkan penumpang – iaitu di terminal Ban San Street di Singapura dan Larkin Sentral di Johor – apabila berada di luar negara asal, tetapi boleh mengambil dan menurunkan penumpang di mana-mana sahaja di negara asal mereka.

Dalam satu catatan Facebook pada Selasa, LTA menyatakan bahawa pemangku menteri pengangkutan Jeffrey Siow dan wakil lain sudah bertemu dengan wakil daripada Persatuan Teksi Nasional, Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional dan Persatuan Teksi Singapura-JB seminggu sebelumnya.

Semasa mesyuarat itu, pihak-pihak berkenaan membincangkan bagaimana pengangkutan titik-ke-titik rentas sempadan boleh “diatur untuk memenuhi keperluan penumpang Singapura, menyediakan peluang kepada pemandu tempatan, dan membendung kenderaan haram”.

Mereka yang menyertai mesyuarat berkenaan “mengakui bahawa terdapat permintaan daripada rakyat Singapura, yang melakukan perjalanan ke Malaysia, yang tidak dapat dipenuhi perkhidmatan teksi rentas sempadan sedia ada,” menurut LTA.

Permintaan itu termasuk daripada keluarga besar dengan anak kecil, warga emas Singapura yang melawat saudara mara di Malaysia serta ahli perniagaan yang menyeberang sempadan untuk menghadiri mesyuarat.

“Terdapat rakyat Singapura yang sanggup membayar bagi perkhidmatan ini, dan pemandu Singapura yang berminat serta mampu untuk memenuhi permintaan tersebut,” menurut LTA.

Pihak berkuasa menambah bahawa para peserta turut membincangkan peluasan skim teksi rentas sempadan sedia ada bagi memperuntukkan kuota lebih tinggi dan kenderaan dengan kapasiti lebih besar, serta kerjasama dengan syarikat platform bagi tempahan melalui aplikasi.

“Kami juga membincangkan kepentingan penguatkuasaan, termasuk penggunaan pengesan lokasi bagi mencegah perjalanan haram oleh teksi rentas sempadan dalam Singapura, seperti melalui ERP2.0,” menurut LTA, sambil menegaskan bahawa pihaknya akan “meneruskan usaha penguatkuasaan terhadap kenderaan asing yang tidak mematuhi undang-undang kami”.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita