Lelaki ditangkap atas siri penipuan online melibatkan permainan elektronik
Seorang lelaki 22 tahun ditangkap di Woodlands Drive pada Rabu (28 Nov) kerana disyaki terbabit dalam satu siri kes penipuan yang melibatkan sekurang-kurangnya S$1,400.
Gambar fail pegawai SPF (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki 22 tahun ditangkap di Woodlands Drive pada Rabu (28 Nov) kerana disyaki terbabit dalam satu siri kes penipuan yang melibatkan sekurang-kurangnya S$1,400.
Polis pada Khamis menyatakan pihaknya menerima beberapa aduan daripada mangsa antara 6 September dengan 15 November tahun ini.
Mangsa kes tersebut menjawab iklan online yang mendakwa menjual barang-barang seperti permainan PlayStation 4. Iklan-iklan itu juga menawarkan anak-anak anjing sebagai haiwan peliharaan.
Penjual kemudian menghilangkan diri selepas mangsa membuat pembayaran melalui pemindahan bank. Jumlah wang yang terbabit antara S$50 dengan S$800.
Mediacorp difahamkan bahawa iklan tersebut disiarkan di Carousell dan Gumtree.
Lelaki itu akan didakwa di mahkamah hari ini (30 Nov) kerana melakukan kesalahan menipu. Sekiranya didapati bersalah, dia berdepan hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda.
Untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pembelian dalam talian, polis menasihati orang ramai untuk mengambil langkah-langkah berikut:
- Buat pembelian online hanya daripada vendor terkemuka;
- Jika bayaran pendahuluan perlu dibuat, hanya berurusan dengan orang yang dikenali dan dipercayai.
- Pastikan orang atau syarikat yang menjual barang itu berada secara fizikal di tempat yang mereka dakwa
- Periksa rekod syarikat atau penjual. Tanya pelanggan lain tentang khidmat yang mereka terima daripada penjual itu.
- Jangan sekali-kali beri nombor akaun ban, nombor kad kredit dan maklumat peribadi kepada orang yang tidak anda kenali atau belum diperiksa.
- Jangan beri sebarang maklumat yang tidak perlu untuk membuat pembelian.
- Perlu diingat bahawa penipu boleh menggunakan akaun bank tempatan untuk berurusniaga agar kelihatan lebih dipercayai. Pemilik akaun bank itu mungkin bukan orang yang berkomunikasi dengan anda dalam talian.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penipuan, anda boleh menghubungi talian bantuan antipenipuan di 1800-722-6688 atau layari www.scamalert.sg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.