Skip to main content

Singapura

Lelaki ditahan, wanita disiasat dalam serbuan banteras vape di Tampines dan Grange Road

Serbuan banteras vape dijalankan di dua buah rumah di Tampines dan Grange Road menyusuli maklumat yang diterima pihak berkuasa daripada sebuah syarikat kurier.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ditahan, wanita disiasat dalam serbuan banteras vape di Tampines dan Grange Road

HSA menemukan pod-pod vape yang disembunyikan dalam bungkusan makanan. (Gambar: HSA)

SINGAPURA: Serbuan banteras vape dijalankan di dua buah rumah di Tampines dan Grange Road menyusuli maklumat yang diterima pihak berkuasa daripada sebuah syarikat kurier.

Serbuan itu membawa kepada penemuan berpuluh-puluh produk vape dan sejumlah dadah.

Seorang lelaki berusia 34 tahun diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah, manakala seorang wanita berusia 25 tahun sedang disiasat.

Serbuan itu dijalankan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 22 Julai selepas seorang pekerja syarikat kurier menemui beberapa pod vape dalam sebuah bungkusan yang dibawanya.

Kandungan bungkusan itu “didedahkan secara tidak sengaja” oleh penerimanya, menurut HSA dalam kenyataan medianya pada Khamis (21 Ogos).

“Bungkusan tersebut diisytiharkan secara palsu sebagai mengandungi makanan,” tambahnya.

Berdasarkan maklumat itu, pihak berkuasa menyerbu sebuah kediaman di Grange Road, di mana para pegawai menemui peralatan berkaitan dadah, 43 pod pengewap elektronik, 13 vape serta komponen berkaitan.

Wanita berusia 25 tahun itu, yang dikenal pasti sebagai penjualnya, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, menurut HSA.

Dalam satu lagi serbuan di rumah lelaki tersebut di Tampines Street 33, para pegawai menemui 0.6 gram dadah jenis Ice serta peralatan berkaitan dadah.

Mereka juga menemui lebih 80 produk tembakau jenis 'heat-not-burn', satu pengewap elektronik, empat pod vape yang didapati mengandungi etomidate, serta dua paket dan lima batang rokok yang tidak dibayar cukai.

Produk tembakau 'heat-not-burn' adalah peranti elektronik yang juga dikenali sebagai “tembakau tanpa asap”.

Kedua-dua individu itu kini sedang disiasat oleh HSA atas kesalahan berhubung vape, dan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) atas kesalahan dadah.

Mediacorp sudah menghubungi HSA untuk mendapatkan perkembangan terkini tentang keadaan wanita itu.

Vape dilarang di Singapura.

Ini termasuk pembelian secara online dan pembelian dari luar negara, menurut HSA, sambil menambah bahawa pesalah boleh didenda sehingga S$2,000.

Tindakan mengimport, mengedar dan menjual vape serta komponennya juga dilarang.

Pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Hukuman akan digandakan bagi pesalah berulang.

Sambil menarik perhatian bahawa etomidate akan dikelaskan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah tidak lama lagi, HSA menggesa para pengguna pengewap elektronik, khususnya yang dicampur dengan etomidate, supaya menghentikan tabiat itu.

Pesalah yang didapati menggunakan vape yang dicampur etomidate akan diletakkan di bawah pemantauan dan perlu menjalani pemulihan mandatori.

Pesalah berulang boleh didakwa dan dipenjara sekurang-kurangnya setahun.

“Hukuman lebih berat akan dikenakan ke atas mereka yang menjual, mengedar atau mengimport peranti tersebut, termasuk penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” menurut HSA.

Singapura baru-baru ini meningkatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan berhubung vape sedang masalah tersebut menjadi semakin memburuk.

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 17 Ogos bahawa pihak berkuasa akan menganggap vape sebagai “isu dadah”, dengan hukuman yang “jauh lebih berat” termasuk hukuman penjara serta hukuman lebih tegas ke atas mereka yang menjual vape yang mengandungi bahan berbahaya.

HSA menyatakan bahawna orang ramai memainkan peranan penting dalam memerangi vape. Mereka boleh menyalurkan maklumat berhubung iklan, pengimportan, pengedaran, penjualan atau pemilikan pengewap elektronik yang menyalahi undang-undang melalui borang online ini: https://go.gov.sg/reportvape
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita