Lelaki ditahan selepas pecah masuk kedai, curi rokok, wang tunai S$40,000
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 43 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk kedai dan mencuri, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (7 Apr).
SPF menambah, pihaknya dimaklumkan mengenai insiden di sebuah kedai di Jurong East Street 24 sekitar pukul 1.32 petang pada Selasa (4 Apr).
Wang tunai kira-kira S$40,000 dan rokok bernilai sekitar S$6,000 dipercayai dicuri dari lokasi tersebut.
Menerusi pertanyaan orang awam dan dengan bantuan gambar-gambar kamera polis dan televisyen litar tertutup (CCTV), para pegawai daripada Divisyen Polis Clementi mengenal pasti identiti lelaki itu dan memberkasnya pada Jumaat.
Suspek akan didakwa atas kesalahan memecah masuk kedai dan mencuri pada Sabtu (8 Apr).
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Polis dalam kenyataannya, turut menasihatkan para pemilik hartanah agar mengambil langkah-langkah pencegahan jenayah berikut:
- Mengunci semua pintu, tingkap dan pembukaan yang lain dengan jeriji yang bermutu tinggi dan mangga apabila mereka meninggalkan satu-satu premis
- Elakkan daripada menyimpan banyak wang tunai dan barang kemas di sebarang premis
- Pasang penggera bagi mencegah pencuri, lampu yang mengesan pergerakan dan/atau kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi tempat-tempat masuk ke premis
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.