Skip to main content

Singapura

Lelaki ditahan, peroleh maklumat peribadi melalui kod QR palsu di blok HDB

Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan pada minggu lalu kerana disyaki terbabit dalam siri penipuan kod QR, yang ditampal di lobi lif beberapa blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Batok bagi memperolehi butiran peribadi penduduk yang memberi  maklum balas.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ditahan, peroleh maklumat peribadi melalui kod QR palsu di blok HDB

(Gambar: Pejabat Perkhidmatan Perbandaran)

Diterbitkan : 03 Feb 2023 09:25PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan pada minggu lalu kerana disyaki terbabit dalam siri penipuan kod QR, yang ditampal di lobi lif beberapa blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Batok bagi memperolehi butiran peribadi penduduk yang memberi  maklum balas.

Tertera pada setiap poster ialah kod QR yang kononnya adalah kod QR One Service Lite namun sebaliknya ia akan membawa pengguna ke sebuah laman web pancingan data yang meminta butiran peribadi mereka.

Dalam satu kenyataan media bersama pada Jumaat (3 Feb), polis dan Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) menyatakan lelaki itu diberkas pada 26 Januari selepas pegawai dari Divisyen Polis Jurong mengenal pasti identitinya.

Lelaki itu yang tidak didedahkan namanya, dipercayai terbabit dalam beberapa kes serupa di merata Singapura.

Polis mendapat aduan mengenai kod QR palsu itu pada Disember tahun lalu dan Januari.

Poster-poster itu sudah pun diturunkan, dan MSO juga memaklumkan hal itu kepada semua majlis bandaran. 

Mereka yang didapati bersalah memperoleh maklumat peribadi secara haram di bawah Seksyen 416A Kanun Keseksaan 1871 boleh didenda sehingga S$10,000 atau dihukum penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Polis dan MSO menggesa orang ramai supaya "terus berwaspada apabila melungsuri lelaman web dan sentiasa periksa kesahihan laman tersebut sebelum memberikan butiran peribadi anda".

Kod QR dan pautan berkaitan OneService selalunya akan membawa pengguna ke laman dengan domain "gov.sg" dan ia bersaiz A4 dan dicetak pada papan akrilik yang dipasang pada tembok, menurut kedua-dua agensi itu.

"Semua saluran maklum balas OneService, termasuk OS Lite direka untuk berfungsi tanpa penyedia maklum balas perlu menyediakan sebarang maklumat yang membolehkan mereka dikenal pasti.

"Pengguna OS Lite yang mahu mendapatkan perkembangan terkini mengenai kes mereka hanya perlu menyediakan nombor telefon (yang mana MSO akan mengesahkannya menerusi kata kunci sekali sahaja). Tidak wajib untuk mereka memberikan nama penuh," menurut pihak berkuasa berkenaan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita