Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki ditahan atas ancaman bom palsu dalam pesawat SIA dapatkan khidmat peguam bela

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki yang ditahan selama kira-kira dua minggu selepas didakwa membuat satu ancaman bom dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) sudahpun mendapatkan khidmat peguam.

Kes bagi La Andy Hien Duc, 37 tahun, dibicarakan di Mahkamah Negara pada Khamis (13 Okt). Satu daripada dua dakwaan yang dihadapi tertuduh sudahpun dipinda. Peguam belanya yang baru, Johannes Hadi, meminta izin untuk bertemu dengan anak guamnya.

Beliau juga meminta izin agar kakitangan kedutaan dibenarkan untuk bertemu dengan warga Amerika itu.

Pihak pendakwaan tidak mengusulkan sebarang ikat jamin dan tidak akan menolak permintaan yang dibuat oleh peguam bela itu. Hakim pula mengeluarkan arahan yang sewajarnya.

Tertuduh pertama kali didakwa di mahkamah pada 29 September berhubung insiden yang berlaku dalam pesawat SQ33 dari San Francisco ke Singapura pada 28 September.

Tuduhan pertama adalah sengaja menyebabkan kecederaan pada seorang lelaki dengan menampar pipinya. Tuduhan kedua pula kerana menggunakan kata-kata berunsur ancaman dengan menyatakan terdapat bom di dalam pesawat berkenaan, sesuatu yang didengari oleh lelaki yang didakwa telah ditampar oleh tertuduh.

Pada Khamis, tuduhan kedua itu dipinda untuk menyertakan dua lagi saksi lain yang turut mendengar dia berkata bahawa terdapat bom di dalam pesawat berkenaan.

Polis dimaklumkan tentang ancaman bom yang didakwa itu dan pesawat SIA tersebut mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Changi, dengan diiringi oleh jet-jet pejuang Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).
Pada Khamis, pendakwa raya mengatakan beliau menerima satu laporan daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) pada Isnin. Tertuduh telah direman di IMH bagi pemeriksaan psikiatrik semasa sebutan kes yang lalu.

Pendakwa raya meminta penangguhan kes selama dua minggu untuk memuktamadkan pertuduhan dan berkata pihak pendakwaan sedang menunggu hasil siasatan muktamad daripada pihak polis.

Kes akan didengar semula di mahkamah pada 27 Oktober.

Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Atas tindakan membuat ancaman yang mencetuskan rasa cemas, dia boleh didenda sehingga S$5,000.
Sumber : CNA/FZ/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan