Skip to main content

Singapura

Lelaki disyaki terlibat dalam sindiket panggilan penipuan rentas sempadan diberkas di Malaysia

Seorang lelaki berumur 41 tahun akan didakwa di mahkamah pada Selasa (1 Jul) kerana disyaki terlibat dalam satu sindiket yang melakukan panggilan penipuan rentas sempadan, susulan penangkapannya hujung minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki disyaki terlibat dalam sindiket panggilan penipuan rentas sempadan diberkas di Malaysia

Seorang lelaki berusia 41 tahun yang diberkas di Malaysia akan didakwa di mahkamah pada 1 Julai kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan rentas sempadan. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 30 Jun 2025 10:26PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berumur 41 tahun akan didakwa di mahkamah pada Selasa (1 Jul) kerana disyaki terlibat dalam satu sindiket yang melakukan panggilan penipuan rentas sempadan, susulan penangkapannya hujung minggu lalu.

Suspek diberkas di Malaysia pada 28 Jun dan kemudian diserahkan kepada Polis Singapura (SPF).

SPF dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan bahawa lelaki itu akan didakwa atas tuduhan bersubahat dalam satu konspirasi jenayah untuk melakukan penipuan.

Penangkapan itu dilakukan melalui “perkongsian maklumat risik yang meluas dan siasatan bersama” antara Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia Johor.

Pihak berkuasa mengatakan mereka berjaya mematahkan satu sindiket jenayah yang disyaki menggunakan peranti Protokol Internet Alih suara (VoIP) GSM (Sistem Global untuk Komunikasi Bergerak) bagi menjalankan panggilan penipuan di Singapura.

MANGSA DIPERDAYA PANGGILAN DIBUAT DARI SINGAPURA

Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki itu dipercayai terlibat dalam operasi mengendalikan satu sistem kawalan jauh berasaskan teknologi awan (cloud-based) yang "canggih". Ia membolehkan sindiket itu mengakses rangkaian telefon mudah alih GSM di seluruh Singapura dan Malaysia.

“Cara ini membolehkan sindiket tersebut beroperasi dari jarak jauh dan menyalurkan panggilan palsu melalui rangkaian telefon mudah alih tempatan, menyebabkan mangsa di Singapura mempercayai bahawa mereka menerima panggilan dari dalam negara,” kata pihak polis.

Teknologi VoIP membolehkan seseorang membuat panggilan suara menggunakan sambungan Internet jalur lebar dan bukannya talian telefon biasa.

Perkhidmatan sedemikian membolehkan pengguna membuat panggilan kepada pengguna lain yang menggunakan perkhidmatan yang sama, tetapi ada juga yang membolehkan panggilan dibuat ke mana-mana nombor telefon – termasuk nombor tempatan, jarak jauh, mudah alih dan antarabangsa, menurut maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat.

Polis menambah bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara untuk mengesan dan membanteras jenayah rentas sempadan.

“Kami akan berusaha gigih untuk mengesan individu yang melakukan jenayah seperti ini dan memastikan mereka dihadapkan ke muka pengadilan,” kata SPF.

Mereka yang disabit kesalahan menipu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita