Skip to main content

Singapura

Lelaki disyaki pengedar dadah diberkas di bawah undang-undang ditahan tanpa dibicarakan

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki disyaki pengedar dadah diberkas di bawah undang-undang ditahan tanpa dibicarakan

Perintah tahanan dikeluarkan terhadap Benny Kee Soon Chuan pada 22 September 2025, atas pelibatannya dalam kegiatan mengedar dadah di Singapura. (Gambar fail: Biro Narkotik Pusat)

Diterbitkan : 26 Sep 2025 01:53PM
SINGAPURA: Seorang lelaki, yang didakwa atas tuduhan mengedar dadah yang baru-baru ini ditarik balik, kini ditahan di bawah undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan.

Benny Kee Soon Chuan diekstradisi dari Thailand bagi menghadapi tuduhan mengedar dadah yang boleh membawa hukuman mati di Singapura.

Selepas pihak pendakwa mengusulkan dia dilepaskan tanpa dibebaskan pada 8 September, peguam kepada lelaki berusia 32 tahun itu berkata anak guamnya dijangka akan dibebaskan daripada reman.

Kesalahan dadah biasanya didakwa di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Bagi kes Kee, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (26 Sep) menyatakan bahawa pihaknya menggunakan Akta Undang-Undang Jenayah (Peruntukan Sementara) atau CLTPA “sebagai jalan terakhir”.

Akta ini digunakan dalam situasi di mana pendakwaan tidak dapat dijalankan, menurut MHA.

Ini termasuk kes-kes di mana saksi enggan memberi keterangan di mahkamah kerana takut akan tindak balas terhadap mereka atau ahli keluarga mereka, iaitu situasi yang berlaku dalam kes Kee, tambah kementerian itu.

Kee diberkas di bawah CLTPA pada 8 September, iaitu pada hari yang sama dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Perintah tahanan di bawah CLTPA dikeluarkan pada 22 September, kata MHA.

GARIS MASA

Pelibatan Kee dalam aktiviti pengedaran dadah di Singapura terbongkar semasa siasatan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) terhadap dua kes pengedaran dadah berasingan pada Disember 2020 dan November 2022.

MHA menyatakan tertuduh dalam kes tersebut, dua rakyat Singapura yang masing-masing berusia 21 dan 29 tahun ketika ditangkap, didakwa secara berasingan kerana mengedar sejumlah besar methamphetamine.

Lelaki berusia 21 tahun itu akhirnya disabit kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 22 tahun 6 bulan dan 15 sebatan, manakala lelaki berusia 29 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 8 tahun dengan 7 sebatan.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap Kee kerana disyaki terlibat membekalkan dadah kepada kedua-dua individu itu untuk tujuan pengedaran dan penjualan di Singapura.

CNB kemudian menghubungi rakan mereka di luar negara selepas rekod imigresen menunjukkan Kee berada di luar negara sejak 11 April 2016.

Dia kemudian ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand pada September tahun lalu dan diekstradisi ke Singapura pada bulan yang sama.

Media Thailand melaporkan bahawa Kee "hidup mewah" di wilayah Samut Prakan, selatan Bangkok.

Kee didakwa di mahkamah pada 20 September 2024 atas kesalahan bersubahat untuk mengedar methamphetamine di Singapura.

Pada 8 September tahun ini, pihak pendakwa memohon agar tuduhan itu diberi pelepasan tanpa dibebaskan.

Pelepasan seperti ini membolehkan pihak pendakwa membuka semula kes dengan tuduhan yang sama jika terdapat bukti baharu.

“Siasatan mendedahkan bahawa sejak sekurang-kurangnya hujung 2020, Kee terlibat dalam satu sindiket pengedaran dadah di Thailand, dan memainkan peranan penting dalam pembekalan dan pengedaran dadah di Singapura,” kata MHA pada Jumaat.

“Dia akan menerima pesanan melalui Telegram, mengumpul pesanan tersebut, dan kemudian membuat aturan agar dadah dihantar ke Singapura, di mana ia akan diterima dan diedarkan oleh rakan-rakannya.”

MHA menyatakan bahawa pihaknya tidak bertolak ansur sama sekali terhadap pengedaran dadah di Singapura.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi mencegah dan membanteras kegiatan ini, dan para pengedar tidak seharusnya menyangka bahawa mereka boleh terlepas hanya kerana mereka berada di luar Singapura atau dengan menakut-nakutkan saksi,” tambah MHA.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita