Skip to main content

Singapura

Lelaki disiasat kes curi baucar barangan dapur Belanjawan 2020, buat aduan polis palsu

Seorang lelaki 63 tahun sedang disiasat polis atas tuduhan mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 daripada penyewa bersama di tempat tinggalnya dan kemudian membuat aduan palsu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki disiasat kes curi baucar barangan dapur Belanjawan 2020, buat aduan polis palsu

Baucar barangan dapur yang dicuri dari peti surat. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 24 Nov 2020 09:44PM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 09:47PM

SINGAPURA: Seorang lelaki 63 tahun sedang disiasat polis atas tuduhan mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 daripada penyewa bersama di tempat tinggalnya dan kemudian membuat aduan palsu.

Lelaki itu membuat aduan polis pada 9 November dan mendakwa baucar barangan dapur miliknya dan milik penyewa bersama di tempat tinggalnya hilang. Pencurian itu didakwa berlaku di Kim Tian Place, kata pihak polis.

"Siasatan awal menunjukkan lelaki itu dipercayai menerima dua set baucar dalam peti surat rumahnya, satu untuknya dan satu untuk penyewa serumah," menurut kenyataan media polis pada Selasa (24 Nov).

"Menerusi siasatan lapangan dan dengan bantuan gambar dari kamera CCTV, para pegawai Divisyen Polis Central dan Divisyen Polis Clementi mengenal pasti bahawa lelaki itu disyaki mencuri baucar milik penyewa bersama di tempat tinggalnya dan disyaki berbohong bahawa dia tidak menerima baucar tersebut."

Untuk elak disyaki oleh penyewa kongsi rumahnya itu, lelaki tersebut dikatakan membuat aduan polis dan mendakwa baucarnya juga dicuri dan disalah guna.

Siasatan polis sedang dijalankan.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana mencuri boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya. Bagi kesalahan memberi maklumat yang diketahui palsu kepada pegawai awam, individu tersebut boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya.

Polis juga mengingatkan orang ramai bahawa sumber polis boleh digunakan dengan lebih baik untuk menangani jenayah sebenar dan kecemasan dan bukan menyiasat aduan atau maklumat palsu.

Mereka yang membuat aduan palsu akan "dikenakan tindakan berat undang-undang", tegas pihak polis.

Pada Oktober, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa baucar barangan dapur itu sudah dihantar menerusi pos kepada 150,000 warga Singapura untuk membantu ringankan perbelanjaan barangan dapur.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita