Lelaki diserang babi hutan di Bukit Panjang, 8 ekor berjaya dijerat sejak Mei
(Gambar: CNA/Javier Lim)
SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan pada Sabtu (3 Jun) bahawa pihaknya sedia maklum tentang kejadian yang berlaku pada Khamis dan melibatkan orang awam dan seekor babi hutan di Taman Zhenghua di Bukit Panjang.
Seorang lelaki warga Singapura berusia 40 tahun dimasukkan ke hospital selepas diserang oleh seekor babi hutan ketika keluar berjalan dengan anjingnya. Kejadian itu pertama kali dilaporkan oleh Mothership pada Jumaat (2 Jun).
Mangsa memberitahu Mothership bahawa babi hutan itu menggigit kaki kirinya dan dia terpaksa menjalani pembedahan yang memerlukan lebih daripada 20 jahitan.
Menurut NParks, pihaknya sedang berhubungan dengan lelaki tersebut.
Seorang wanita berusia 34 tahun turut diserang babi hutan di Bukit Panjang bulan lalu, yang menyebabkannya dimasukkan ke hospital dengan beberapa luka pada tubuhnya.
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp mengenai serangan terkini di Bukit Panjang, pengarah kumpulan pengurusan hidupan liar NParks Adrian Loo berkata pada Sabtu bahawa agensi itu secara aktif memerangkap haiwan di kawasan itu, dengan lapan ekor babi hutan terjerat dan ditangkap sejak Mei.
"Kami juga bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan berhubung pendidikan dan pendampingan awam untuk mempromosikan pertemuan manusia-hidupan liar yang selamat dan bertanggungjawab," tambahnya.
Ini termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap memberikan makan secara haram kepada hidupan liar yang boleh mengubah tingkah laku semula jadi babi hutan, menyebabkan haiwan itu bergantung kepada manusia untuk mendapatkan makanan.
NParks juga sedang memantau kawasan Bukit Panjang dan pihaknya sudah memasang pagar bagi mencegah babi hutan keluar dari kawasan hutan.
Agensi itu juga mengamalkan pendekatan berasaskan masyarakat dan sains untuk menangani insiden dengan babi hutan.
Ia termasuk mengubah habitat, mengurus pergerakan dan menempatkan haiwan itu di kawasan lain dan menakainya.
APA YANG PERLU DILAKUKAN DALAM INSIDEN DENGAN BABI HUTAN
Apabila orang ramai terserempak dengan babi hutan, mereka harus kekal tenang dan bergerak secara perlahan-lahan, nasihat NParks.
"Jaga jarak yang selamat dan jangan cuba mengepung atau memprovokasi haiwan itu."
Jika haiwan itu dilihat bersama anaknya, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhkan diri kerana haiwan itu boleh menjadi agresif untuk melindungi anaknya.
Orang ramai seharusnya menghubungi Pusat Tindak Balas Haiwan di talian 1800-476-1600 jika mereka terserempak dengan babi hutan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.