Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki disengat ikan pari di Pantai Tanjong Sentosa

Seorang lelaki warga Jerman berusia 38 tahun disengat oleh seekor ikan pari di Pantai Tanjong di Sentosa pada 28 Mac.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki disengat ikan pari di Pantai Tanjong Sentosa

(Gambar: Facebook/Benjamin Koellmann)

Diterbitkan : 05 Apr 2021 02:16PM Dikemas Kini : 05 Apr 2021 02:23PM

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Jerman berusia 38 tahun disengat oleh seekor ikan pari di Pantai Tanjong di Sentosa pada 28 Mac. Beliau salah seorang daripada dua pengunjung pantai yang disengat dalam dua kejadian berasingan pada hari yang sama.

Dalam satu catatan di laman Facebook kumpulan Persatuan Alam Semula Jadi Singapura (Nature Society Singapore) pada Sabtu (3 Apr), Encik Benjamin Koellmann berkata beliau sedang bermandi-manda di dalam laut bersama isteri dan anak lelakinya apabila beliau disengat pada kira-kira pukul 6.00 petang.

Encik Koellmann, yang merupakan ketua pegawai operasi platform e-komersil kereta terpakai Carsome, memberitahu Mediacorp bahawa sengatan "itu terasa sangat kuat, seperti dipukul pada bahagian buku lali dengan tukul".

(Gambar: Facebook/Benjamin Koellmann)

Beliau berkata para penyelamat pantai dengan pantas memberi tindak balas dan beliau dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) dengan menaiki sebauh ambulans.

"Apa yang menyusul adalah tiga malam di hospital dan antara rasa sangat sakit pada saraf yang pernah saya alami seumur hidup," kata Encik Koellmann. Menurutnya, ini meskipun beliau diberikan ubat tahan sakit termasuk morfin, katanya.

Para penyelamat yang membantunya dan seorang doktor SGH berkata mereka melihat "satu lagi kes dengan kecederaan sama berlaku pada petang yang sama". Kejadian itu berlaku di Pantai Siloso, menurut Encik Koellmann.

Seminggu selepas kejadian itu, "rasa sakit itu sudah hampir tiada dan saya boleh lihat hanya luka kecil akibat sengatan itu", kata Encik Koellmann.

Para penyelamat yang segera merawatnya selepas kejadian itu "tenang dan meyakinkan", dan salah seorang daripadanya menghubunginya dua hari kemudian untuk bertanya tentang keadaannya, katanya kepada Mediacorp.

Encik Koellmann yang sudah menetap di Singapura selama tiga setengah tahun, berkata Sentosa belum lagi menghubunginya "secara rasmi".

Memberi jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap bagi Sentosa Development Corporation berkata bahawa dua pegawai rondaan pantai "memberi tindak balas kepada kepada dua permintaan bantuan kecemasan dari pengunjung pada 28 Mac 2021, ketika para pengunjung itu melaporkan sengatan haiwan marin".

"Memandangkan pelbagai kehidupan marin seperti ikan pari sering ditemui di perairan Singapura, para pengunjung dinasihati supaya berwaspada dan berjaga-jaga ketika berenang di pantai."

Papan tanda juga dipasang di sepanjang pantai-pantai Sentosa untuk mengingatkan para pengunjung supaya berhati-hati dengan kehidupan marin, kata jurucakap itu.

Berkenaan ikan pari yang menyengatnya, Encik Koellmann berkata: "Tidak pasti jika ia cedera (apabila saya terpijaknya). Harap-harap ia melarikan diri tanpa kecederaan."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan