Lelaki disaman tipu polis sebagai pemandu dalam kemalangan kerana mahu jadi budiman
Seorang lelaki yang menipu polis bahawa dia pemandu kereta yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya berkata dia konon mahu menjadi seorang "budiman" apabila melihat pemandu yang sebenar menangis.
Gambar: Calvin Oh
SINGAPURA: Seorang lelaki yang menipu polis bahawa dia pemandu kereta yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya berkata dia konon mahu menjadi seorang "budiman" apabila melihat pemandu yang sebenar menangis.
Ong Chen Yang, 38 tahun, didenda S$5,000 pada Isnin (7 Jun) atas satu kesalahan memberi maklumat palsu kepada seorang pegawai polis dengan satu lagi tuduhan menghalang proses keadilan turut diambil kira.
Mahkamah diberitahu bahawa Ong adalah kawan pemandu yang turut dituduh itu. Yu Jia 30 tahun, seorang warga China dan penduduk tetap Singapura.
Mereka terserempak di sebuah tempat minuman keras sekitar 11.00 malam pada 11 Mac 2020 dan mula berbual-bual. Mereka sama-sama meninggalkan tempat itu pada sekitar 1.00 pagi dan Yu memandu kereta sementara Ong duduk di sebelahnya.
Sedang mereka berbual, Yu hilang tumpuan dan melanggar bebendul jalan di pembahagi jalan sepanjang Pasir Ris Street 71.
Polis tiba di tempat kemalangan dan mendapati kereta sedang ditunda. Ong dan Yu pula sedang berjalan meninggalkan tempat kejadian sebelum salah seorang pegawai mengarah mereka untuk berhenti.
Ong berkata kepada pegawai polis: "Maaf, maaf, saya pemandunya, saya pemandunya."
Dalam kereta polis, Ong memberitahu para pegawai polis bahawa dia yang memandu kereta sambil berbual dengan Yu. Dia "terlalu asyik dalam perbualan mereka" dan tidak sedar kereta telah berubah haluan ke arah pembahagi jalan.
Dia tidak sempat menghentikan kereta dan kereta itu terlanggar bebendul jalan, dakwa Ong. Dia juga mengaku minum arak sebelum memandu.
Namun, Ong memberitahu hal yang sebenarnya apabila satu lagi kenyataan dicatat pada 1.30 petang pada 13 Mac 2020.
Dia mengaku dia menipu sebelum ini dan berkata bahawa Yu adalah pemandu kereta ketika kemalangan berlaku.
Ong berkata dia menipu polis kerana dia "mahu menjadi seorang budiman dan memutus untuk dipertanggungjawabkan apabila melihat yang turut tertuduh sedang menangis."
Atas kesalahan sengaja memberi maklumat palsu kepada seorang pegawai khidmat awam, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Yu juga disenaraikan sebagai tertuduh dalam dokumen mahkamah dan kesnya masih belum selesai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.