Skip to main content

Singapura

Lelaki disabit kesalahan dalam kes tikam dipenjara; beri rasuah kepada mangsa semasa rayuan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki yang sebelum ini disabit kesalahan dalam satu insiden tikaman menerima hukuman penjara enam bulan lagi pada Selasa (26 Jul) kerana memberi rasuah kepada dua mangsanya untuk memberikan keterangan palsu semasa rayuannya.

Kes tersebut berlaku pada 2012 apabila Muraleindren Thoondy menikam tiga lelaki selepas pergaduhan di kawasan Liang Court.

Lelaki 53 tahun itu kemudian didakwa atas kesalahan melakukan serangan itu dan dihukum penjara selama tiga tahun setengah serta dikenakan 12 sebatan rotan pada 2015.

Semasa perbicaraan, dua mangsanya - saudara Santhiran Mayalagu dan Surash Mayalagu - mengenal pasti pesalah sebagai penyerang.

Namun, Muraleindren kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.

Melalui peguam belanya, dia memfailkan usul jenayah untuk mengemukakan bukti lanjut bahawa Santhiran dan Surash mengatakan mereka tersilap dan menyangka Muraleindren adalah penyerang.

Ia kemudian didapati bahawa Muraleindren, dengan pertolongan orang tengah, sudah memberikan mangsanya, Santhiran dan Surash wang sogokan untuk memfailkan bukti palsu.

Siasatan mendedahkan bahawa Muraleindren sudah memberikan wang tunai berjumlah S$10,000 kepada Santhiran untuk dia dan Surash menyatakan bahawa mereka tersilap mengenal pasti Muraleindren sebagai penyerang.

Rayuan Muraleindren ditolak pada 2016 dan hukuman itu dikekalkan.

Atas kesalahan sengaja memberikan bukti palsu, Santhiran dan Surash kedua-duanya disabit kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan pada 2020.

Orang tengah, Sinevigneshwaraneckman Many dijatuhi hukuman empat bulan penjara pada Februari lalu kerana bersubahat dengan Muraleindren dalam memberi rasuah.

Sesiapa yang disabit kesalahan memberi rasuah boleh didenda sehingga S$100,000 atau dihukum penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita