Lelaki direnjat polis, ditahan atas beberapa kesalahan
Seorang lelaki berusia 41 tahun ditangkap kerana didakwa menyebabkan kecederaan secara sukarela untuk menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugasnya, mengganggu ketenteraman awam dan mencuri dari tempat kediaman serta kesalahan bersangkutan dengan dadah.
Petikan skrin video media sosial menunjukkan seorang lelaki ditahan di kedai kopi di 802 French Road.
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 41 tahun ditangkap kerana didakwa menyebabkan kecederaan secara sukarela untuk menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugasnya, mengganggu ketenteraman awam dan mencuri dari tempat kediaman serta kesalahan bersangkutan dengan dadah.
Pada Jumaat (16 Jul) sekitar 1.50 tengah hari, polis dimaklumkan tentang kejadian melibatkan seorang lelaki yang bertindak kasar terhadap para anggota paramedik dan orang awam yang membantunya selepas dia terjatuh di sebuah kedai kopi dalam kawasan Jalan Besar .
Apabila polis tiba di Blok 802 French Road, lelaki itu didakwa terus berkelakuan agresif terhadap para pegawai tersebut serta orang awam yang berada di sekelilingnya.
"Walaupun sudah berulang kali diberi amaran supaya mematuhi arahan, lelaki itu didakwa mencabar dan menyerang para pegawai polis tersebut," menurut SPF dalam kenyataan medianya.
"Salah seorang pegawai kemudian mengeluarkan belantan dalam untuk cuba menundukkan lelaki itu.
Dia akhirnya dapat dikawal dan diberkas selepas para pegawai polis menggunakan senjata renjat (taser gun) terhadapnya."
Siasatan awal menunjukkan bahawa sebelum polis tiba di tempat kejadian, lelaki itu bertindak ganas dan didakwa mencampak kerusi ke arah pelanggan lain di sebuah kedai kopi.
Lelaki itu juga dipercayai terlibat dalam kes kecurian di farmasi berhampiran kedai kopi itu.
Siasatan sedang dijalankan.
Jika didapati bersalah kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan untuk menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda atau dirotan.
Dia juga boleh didenda tidak melebihi S$2,000 jika sabit kesalahan menyebabkan gangguan awam, dan dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda jika didapati bersalah kerana mencuri dari kediaman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.