Lelaki dipercayai terlibat kes ubah elok rumah terbengkalai sudah dijumpai, bantu siasatan

(Gambar: Wong Noorina May)
Apabila dihubungi BERITAmediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan bahawa seorang lelaki berusia 57 tahun sedang membantu siasatan polis.
Dalam laporan pada 26 Mei, SPF mengesahkan kepada BERITAmediacorp bahawa pihaknya ada menerima aduan mengenai kes tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
Dua mangsa kerja-kerja ubah elok rumah yang terbengkalai - Ahmad Zhufar Suhartono dan Afiqah Joefri serta Muhammad Azizi Mohamad Hariyadi dan Wong Noorina May - berkongsi bahawa mereka terpaksa menanggung kerugian lebih S$48,200 dan S$45,000 setelah pemilik syarikat Icon Design & Build Consultants yang bernama Yusoff Ayub "hilang" tanpa khabar.
Kerja-kerja ubah elok mereka hanya siap sekitar 10 peratus setakat ini dan mereka perlu memikirkan cara untuk menyusun semula perancangan kewangan dan mencari kontraktor lain.
Usaha untuk menghubungi Yusof juga gagal dan kedua-dua pejabat serta bilik pameran syarikatnya, di Beauty World Plaza dan Icon@Changi, didapati sudah tidak beroperasi.
BERITAmediacorp juga cuba menghubungi telefon bimbit Yusoff tetapi hanya menerima jawapan operator Singtel, yang mengatakan "nombor yang anda hubungi tidak digunakan".
Kedua-dua pasangan itu sudah membuat aduan polis dan BERITAmediacorp melihat sendiri laporan yang dibuat oleh mereka.
Setakat 7 Jun, kedua-dua pasangan belum menerima sebarang perkembangan baru mengenai Yusof, syarikatnya ataupun duit mereka yang sudah lesap.
Selepas isu kerja-kerja ubah elok yang terbengkalai angkara syarikat tersebut menjadi tular di media sosial, sekurang-kurangnya 16 mangsa lain yang tampil berkongsi bahawa mereka ditimpa nasib yang sama dengan Cik Afiqah.
Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pula memaklumkan kepada BERITAmediacorp bahawa setakat ini pihaknya baru menerima satu aduan pada Mei 2023 terhadap Icon Design & Build Consultant.
MAHU UBAH ELOK RUMAH? PASTIKAN PERKARA INI...
CASE berkongsi beberapa perkara yang perlu para pelanggan pastikan dan periksa sebelum mendapatkan khidmat sesebuah syarikat ubah elok.
Para pelanggan harus membuat perbandingan sebutan harga daripada pelbagai kontraktor dan lakukan kajian menyeluruh ke atas kewibawaan dan rekod syarikat sebelum menandatangani kontrak.
Mereka juga mesti bertegas meminta kontrak bertulis untuk melindungi kepentingan diri mereka dan merundingkan bagi pembayaran berperingkat mengikut kerja.
Lazimnya, 10 peratus sebaik sahaja persetujuan kontrak dicapai, 80 peratus bayaran berperingkat mengikut kerja-kerja yang sudah dijalankan dan akhir sekali 10 peratus sebaik sahaja kerja-kerja ubah elok siap pada tahap memuaskan dan isu-isu yang ada sudah diperbetulkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.