Lelaki dipercayai rakam video wanita dalam tandas Tampines diberkas
Seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai merakam video wanita dalam tandas di cawangan NTUC Income Tampines, diberkas pada Rabu (26 Dis).

(Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai merakam video wanita dalam tandas di cawangan NTUC Income Tampines, diberkas pada Rabu (26 Dis).
Cik Emilia Chong mendakwa dalam catatan Facebooknya bahawa seorang lelaki yang bersembunyi dalam tandas wanita di aras bawah bangunan berkenaan telah mencuba untuk merakam video dirinya dan teman-temannya lain.
Cik Chong turut memuat naik gambar-gambar seorang lelaki dipercayai suspek tersebut. Catatan Facebooknya dikongsi sekitar 7,000 kali.
Polis memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu di 300 Tampines Avenue 5, tempat cawangan itu, sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.
"Polis memandang serius kes sedemikian dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan seperti itu," menurut polis.
Cik Chong menerusi catatan Facebooknya berkata, beliau dan beberapa rakan lain mendapati seorang lelaki sedang bersembunyi dalam salah sebuah bilik tandas perempuan.
Lelaki itu cuba untuk melarikan diri tetapi ditahan seorang teman lelaki serta beberapa orang lain yang lalu di luar tandas terebut.
Cik Chong mendakwa bahawa lelaki itu berkali-kali meminta maaf. Malah, dia sempat mengucapkan kepada mereka "Merry Christmas".
Beliau menambah: "Kaum wanita, harap berwaspada dengan keadaan sekeliling anda, terutama sekali di tandas-tandas yang sunyi. Ia boleh berlaku kepada saya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja."
Mereka yang didapati bersalah kerana mencabul kehormatan seorang wanita boleh dipenjara sehingga setahun, didenda atau kedua-duanya.
Mereka yang didapati bersalah mengganggu ketenteraman awam pula boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.