Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara, ugut tular video seks setelah putus hubungan dengan isteri orang

Seorang lelaki 29 tahun yang naik angin apabila temanitanya putus hubungan dengannya, mengugut untuk memberitahu keluarga wanita itu tentang hubungan sulit mereka, dipenjara tiga bulan dan tiga minggu pada Jumaat (3 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara, ugut tular video seks setelah putus hubungan dengan isteri orang

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 03 Sep 2021 09:51PM Dikemas Kini : 03 Sep 2021 09:53PM

SINGAPURA: Seorang lelaki 29 tahun yang naik angin apabila temanitanya putus hubungan dengannya, mengugut untuk memberitahu keluarga wanita itu tentang hubungan sulit mereka, dipenjara tiga bulan dan tiga minggu pada Jumaat (3 Sep).

Selain mengugut untuk memecahkan tembelang hubungan sulit mereka, lelaki itu juga menyusup masuk ke dalam kompleks kondominium wanita itu. Dalam satu kesempatan dia menukar warna rambut dan memakai cermin mata hitam untuk elak dicam. Dia juga berkali-kali menggertak untuk membocorkan video seks mereka.

Lelaki warga Singapura itu mengaku bersalah minggu lalu atas dua dakwaan ugutan jenayah dan satu jenayah menceroboh. Lagi dua dakwaan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Namanya tidak boleh didedahkan untuk melindungi identiti bekas temanitanya, 32 tahun. Tempoh hukumannya bermula pada 11 Mei apabila dia ditahan reman.

Pasangan itu menjalin hubungan antara September hingga Oktober tahun lalu. Lelaki itu membuat sekurang-kurangnya tujuh rakaman video intim dengan mangsa, selain mengambil petikan skrin panggilan video di mana wanita itu dalam keadaan lucah.

Dia melakukan demikian dengan keizinan wanita itu.

Sekitar November tahun lalu, wanita tersebut memberitahunya bahawa beliau mahu memutuskan hubungan mereka. Tertuduh tidak setuju lalu mengugut untuk mencederakan diri sendiri dan muncul tanpa diundang di beberapa tempat.

Lelaki itu juga mengugut untuk memberitahu keluarga wanita itu, termasuk suami dan anak-anaknya serta rakan-rakan wanita itu tentang hubungan sulit mereka.

Rasa tertekan, wanita itu menjawabnya hanya jika perlu tetapi cuba elakkan diri daripada lelaki itu seberapa mungkin.

MENYAMAR JADI EJEN HARTANAH

Semasa mereka berpacaran, wanita itu memberi lelaki tersebut satu set kunci ke kondominiumnya. Dia kemudian membuat salinan kunci itu tanpa pengetahuan wanita tersebut.

Pada 3 Februari lalu, lelaki itu mengekori seorang penghuni dan berjaya memasuki kompleks kondominium wanita tersebut.

Beliau ketika itu berada di rumah dengan pintu tidak terkunci, dan lelaki tersebut dapat masuk tanpa menggunakan kuncinya. Dia enggan pergi ketika dihalau, sebaliknya mengancam akan menghantar video dan petikan skrin lucahnya kepada rakan-rakan dan keluarga wanita itu.

Wanita itu bergegas ke pos pengawal keselamatan kondominium untuk meminta pertolongan, kata Timbalan Pendakwa Raya Sunil Nair kepada mahkamah. Seorang pengawal memanggil polis dan pegawai segera tiba.

Dua bulan kemudian lelaki itu menelefon wanita itu untuk bertemu.

Apabila wanita itu menolak, dia sekali lagi mengancam untuk menyebarkan rakaman yang dibuat.

Dia juga memberitahu wanita bahawa dia tidak mahu terus menyembunyikan hubungan mereka, dan ingin memuat naik gambar-gambar lain yang mereka ambil bersama anak-anak wanita itu di akaun Instagram peribadinya.

Wanita itu mengalah dan bertemu dengannya, lalu membuat laporan polis pada malam yang sama.

Lelaki itu menceroboh lagi kompleks kondo tersebut sebulan kemudian, kali ini menyamar sebagai seorang ejen hartanah apabila seorang pengawal keselamatan bertanya tujuannya di sana.

Dia juga telah mewarnakan rambutnya dan memakai cermin mata hitam.

Pengawal itu kemudian membenarkan lelaki itu masuk, namun seorang kenalan mangsa terserempaknya berkeliaran di sekitar bloknya lalu memberitahu mangsa. Wanita itu kemudian menghubungi polis.

Bagi setiap kesalahan ugutan jenayah, lelaki itu boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Bagi jenayah menceroboh, dia boleh dipenjara hingga tiga bulan atau didenda hingga S$1,500, atau kedua-duanya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita