Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara setelah rempuh pejalan kaki di CBD, 3 orang cedera

Gara-gara cuba memotong seorang pemandu, seorang lelaki memecutkan keretanya dua kali lebih laju daripada had kelajuan yang ditetapkan di tengah-tengah kawasan CBD. Dia akhirnya merempuh sekumpulan pejalan kaki, menyebabkan dua orang tersepit dan menggilis kaki mangsa ketiga.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara setelah rempuh pejalan kaki di CBD, 3 orang cedera

Keadaan selepas kemalangan berlaku di Pusat Kewangan Marina Bay pada 15 Apr 2019. (Gambar fail: Tan Jacken/Facebook)

Diterbitkan : 21 Sep 2020 08:47PM Dikemas Kini : 21 Sep 2020 08:48PM

SINGAPURA: Gara-gara cuba memotong seorang pemandu, seorang lelaki memecutkan keretanya dua kali lebih laju daripada had kelajuan yang ditetapkan di tengah-tengah kawasan CBD. Dia akhirnya merempuh sekumpulan pejalan kaki, menyebabkan dua orang tersepit dan menggilis kaki mangsa ketiga.

Atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan tindakan melulu dan satu tuduhan menyebabkan kecederaan akibat tindakan terburu-buru, Lim Wei Sheng, 27 tahun, pada Isnin (21 Sep) dijatuhi hukuman penjara 15 minggu. Dia juga diharamkan daripada memandu selama empat tahun.

Satu lagi tuduhan turut dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu Lim sedang memandu di lorong kedua sebuah jalan raya lima lorong yang menghala ke Cross Street pada sekitar 6.00 petang, 15 April tahun lalu.

Ketika dia menghampiri persimpangan di antara Central Boulevard dengan Marina Way, dia cuba memotong sebuah kereta berwarna kelabu yang berada di depannya.

Dia memasuki lorong pertama sebelum melajukan keretanya dan memotong kereta berkenaan. Sewaktu dia cuba memasuki semula lorong kedua, sebuah kereta biru di lorong kedua itu cuba membelok kanan ke Marina Way, lantas merempuhnya.

Bagi mengelak daripada bertembung dengan kereta biru tersebut, Lim membelokkan keretanya ke kanan tetapi hilang kawalan ke atas kenderaannya dan melanggar tonggak jalan besi sebelum merempuh sekumpulan pejalan kaki, yang sedang menunggu untuk menyeberang jalan di sebuah persimpangan trafik.

Dua wanita, berusia 37 dan 35 tahun, tersepit di bawah kereta Lim manakala kaki seorang lagi wanita, berumur 40 tahun, digilis keretanya.

Mereka dibawa ke hospital dengan kecederaan termasuk patah tulang rusuk, luka terbuka pada bahagian kaki dan tulang kering yang patah.

Siasatan menunjukkan Lim memandu pada kelajuan antara 98 kilometer sejam (km/j) dengan 102 km/j sebelum nahas itu berlaku. Had kelajuan di sepanjang jalan raya tempat dia memandu adalah 50km/j.

Satu laporan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan Lim memandu sekitar 170.5 meter dalam percubaannya untuk memotong kereta kelabu itu sebelum pertembungan berlaku.

Lim sedar bahawa memandu terus pada kelajuan tinggi di lorong untuk membelok kanan sahaja adalah tindakan yang melulu dan berbahaya yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah Lim dan membenarkan Lim memulakan hukuman penjaranya pada 12 Oktober.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah melalui tindakan melulu, Lim boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan atas tindakan melulu, dia boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,00 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan-kesalahan itu juga membawa kepada larangan memandu jika ia dilakukan berkaitan dengan memandu sebuah kenderaan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan