Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara setahun, serang rakan sekerja gara-gara mengambil tali keselamatan

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara setahun, serang rakan sekerja gara-gara mengambil tali keselamatan

Tangkapan skrin menerusi Google Street View yang menunjukkan tapak binaan di Choa Chu Kang Avenue 1.

SINGAPURA: Gara-gara marah kerana rakan sekerja mengambil tali pengikat keselamatan miliknya, seorang pekerja binaan menyerang rakannya itu selepas pertengkaran tercetus. Akibatnya, mangsa mengalami keretakan teruk pada tulang.

Cai Linghui, 43 tahun, dijatuhi hukuman penjara setahun pada Khamis (6 Okt). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah, dengan tuduhan kedua juga diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah memperdengarkan bahawa Cai dan mangsa yang berusia 33 tahun, bekerja di tapak binaan sebuah gereja di Choa Chu Kang.

Pada 3 Jun sekitar pukul 1.00 petang, mangsa ternampak tali pengikat keselamatan milik Cai yang dibiarkan. Dia kemudian memakai tali pengikat keselamatan tersebut dan terus bekerja. Cai bagaimanapun ternampak mangsa memakai tali pengikat keselamatan miliknya itu.

Cai memberitahu mangsa bahawa tali pengikat itu miliknya dan berkata dia mahukan ia kembali. Namun demikian, mangsa menyuruhnya untuk menunggu.

Lantaran itu, mereka mula bertengkar. Cai menarik tali pengikat itu ke bawah, menyebabkan mangsa hilang imbangan lalu terjatuh dari bahagian perancah, di mana dia berdiri sebelum ini.

Setelah mangsa terjatuh, Cai mula menumbuk mangsa, yang bertindak balas dengan menumbuknya kembali. Cai lalu dilihat mengambil paip keluli dan mula menyerang kepala mangsa, menyebabkan topi keledarnya tercabut.

Mangsa dikejarkan ke hospital sejurus selepas itu. Dia mengalami kecederaan termasuk pelbagai keretakan pada bahagian muka dan lelasan di kepala, dada dan tulang kering. Bukan itu sahaja, penglihatan mangsa dilaporkan kabur dan dia diberi rawatan susulan dengan para pakar oftalmologi dan pembedahan plastik.

Pemeriksaan lanjut pada bulan Julai lalu pula mengesahkan bahawa mangsa tidak mengalami sebarang kecacatan luaran atau fungsi yang ketara selain daripada hadangan pada bahagian hidung.

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah, Cai boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda atau dikenakan sebatan rotan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita