Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara serang, cabul saudara perempuan; pukul isteri dengan botol kaca

Lelaki berusia 37 tahun dijatuhi hukuman penjara 1 tahun dan 9 bulan kerana menyerang saudara perempuannya serta isterinya.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 37 tahun dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan sembilan bulan pada Rabu (10 Ogos) kerana menyerang saudara perempuannya serta isterinya.

Dia tidak boleh dinamakan kerana identiti mangsa-mangsa dilindungi perintah mahkamah.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 9 Jun 2020, lelaki itu menampar dan menumbuk saudara perempuannya apabila mangsa melawat ibu mereka di rumah. Pesalah berkenaan sedang menogok arak dengan banyak pada ketika itu.

Mangsa sedang berbual dengan seorang lagi adik-beradik tentang menjual rumah ibu mereka apabila pesalah itu mula memarahi dan menyoalnya.

Apabila wanita itu enggan menjawabnya, dia menampar mangsa. Lelaki itu juga menolak mangsa sehingga menyebabkan bahagian belakang kepalanya terhentak tembok.

Lelaki itu naik berang apabila saudara perempuannya itu terus membisu dan tidak memberikan jawapan. Dia menampar serta menumbuk muka wanita berkenaan berulang kali dan mencekiknya. Wanita itu mula berada dalam keadaan separa sedar disebabkan tumbukan-tumbukan kuat itu.

Apabila wanita tersebut mula sedar, lelaki itu menyuruhnya melakukan perbuatan seks ke atasnya. Mangsa cuba melawan tetapi lelaki itu jauh lebih kuat.

Dia kemudian meramas dan menggenggam dada saudara perempuannya itu dan menarik bajunya, mendedahkan tubuhnya. Dia kemudian memberitahu mangsa "dia boleh tidur dengannya atau membawanya ke Geylang untuk melacurkannya", dedah dokumen mahkamah.

Lelaki itu memberi ancaman untuk menyerang sesiapa yang cuba masuk campur dan memberitahu keluarganya supaya tidak menghubungi polis.

Sekitar pukul 10.00 malam, kira-kira tiga jam selepas mangsa tiba di rumah itu, salah seorang adik-beradik mereka berjaya keluar rumah dan menghubungi khidmat kecemasan.

Mangsa dibawa ke hospital, di mana beliau didapati mengalami keretakan pada hidung, trauma pada mata dan lebam pada dadanya.

SERANG ISTERI BEBERAPA KALI

Lelaki itu juga mengaku menyerang isterinya dalam tiga insiden berbeza pada Mei 2021.

Dalam satu insiden, isteri pesalah itu sedang menggunakan telefonnya apabila dia menuduh wanita itu cuba menyembunyikan sesuatu daripada dirinya.

Dia menghamburkan kata-kata kesat, menumbuk dan menendang muka isterinya beberapa kali serta menarik rambut dan bajunya. Seorang rakan yang ada bersama mereka ketika itu kemudian menghubungi polis.

Walaupun mangsa mengalami luka pada bibirnya, beliau enggan mendapatkan perhatian perubatan kerana bimbang suaminya akan menyerangnya lagi.

Lewat bulan itu, pasangan berkenaan berbalah di flat isterinya. Lelaki itu memukul wanita tersebut berulang kali dengan botol kaca deodoran sehingga menyebabkan beliau berdarah.

Dia juga memukul lengan dan kaki isterinya berulang kali dengan objek yang dinyatakan dalam dokumen mahkamah sebagai "peralatan berbentuk silinder berwarna hitam".

Mangsa tidak memberitahu sesiapa tentang serangan itu kerana takut kepada suaminya.

Dua hari kemudian, lelaki itu pergi ke rumah ibunya di mana dia mula menyerang isterinya lagi. Dia menumbuk mata wanita itu, memukul kepalanya beberapa kali dan melempar objek-objek keras ke arahnya.

Mangsa membuat aduan polis keesokan harinya dan mendapatkan bantuan perubatan bagi kecederaannya.

Semasa serangan-serangan itu berlaku, isteri lelaki itu mempunyai perintah perlindungan peribadi terhadap lelaki berkenaan.

Lelaki itu mengaku bersalah atas satu tuduhan masing-masing kerana mencabul kehormatan, menyebabkan kecederaan teruk dengan sengaja, menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya dan berkelakuan tidak tertib.

Lelaki itu juga mengaku bersalah ke atas tuduhan melanggar perintah perlindungan peribadi yang diperoleh isterinya terhadap dirinya pada 2018.

11 tuduhan lain dipertimbangkan semasa dia dijatuhi hukuman.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan