Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara selepas langgar seorang pemandu kereta sewa privet di perhentian teksi

Seorang pemandu kereta sewa privet dihukum penjara dua minggu pada Isnin (7 Jul) dan dilarang memandu selama setahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara selepas langgar seorang pemandu kereta sewa privet di perhentian teksi

Petikan skrin daripada Google Street View yang menunjukkan perhentian teksi di The Centrepoint, tempat kejadian berlaku. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Seorang pemandu kereta sewa privet dihukum penjara dua minggu pada Isnin (7 Jul) dan dilarang memandu selama setahun.

Aiden Ang Wee Hao, 33 tahun, menyebabkan pelanggaran di sebuah perhentian teksi apabila dia terlupa menarik brek tangan dan bertindak melarikan diri, melanggar seorang pemandu.

Rakyat Singapura itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan melalui tindakan cuai yang membahayakan keselamatan individu.

Mahkamah diberitahu bahawa Ang bekerja sambilan sebagai pemandu sewa privet pada Disember 2023.

Sekitar pukul 9.20 malam pada 8 Disember 2023, dia menurunkan empat penumpang di perhentian teksi The Centrepoint di Orchard Road.

Setelah penumpang diturunkan, Ang keluar daripada tempat duduknya untuk memeriksa kereta namun terlupa menukar gear ke "park" atau menarik brek tangan.

Kereta Mazda milik Ang bergerak ke depan dan melanggar belakang sebuah Toyota Sienta hitam, dipandu oleh Encik Yap Chee Hian, seorang pemandu kereta sewa privet sepenuh masa berusia 61 tahun.

Encik Yap sedang mengambil penumpang daripada perhentian teksi yang sama.

Selepas pelanggaran tersebut, Encik Yap keluar dari kenderaannya dan kedua-dua lelaki itu berbincang mengenai tuntutan insurans dan pampasan berhubung kemalangan tersebut.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tiada sebarang ugutan, perkataan kesat atau jeritan yang berlaku sepanjang perbincangan itu.

Ang memasuki kereta semula setelah 3 minit setengah perbincangan berlaku sementara Encik Yap terus bercakap dengannya.

Encik Yap kemudian membuat satu panggilan telefon ketika perbincangan mereka.

Kedua-dua pihak belum bertukar nombor telefon. Encik Yap cuba bercakap dengan Ang sambil dia menggunakan telefon, tetapi Ang mula mengundurkan keretanya.

Encik Yap bertindak mengetuk cermin kereta Ang untuk menarik perhatiannya. Ang berhenti seketika untuk berbual dengannya, namun secara tiba-tiba mempercepatkan keretanya dan membelok ke kiri untuk keluar ke lorong bersebelahan.

Encik Yap berlari ke arah kereta Ang dan mengetuk bonet, tetapi Ang terus memandu beberapa meter ke hadapan sehingga Encik Yap berada di hadapan keretanya.

Walaupun Encik Yap sudah berdiri di depan keretanya, Ang tetap menggerakkan kenderaan ke hadapan sehingga tubuh Encik Yap tersandar di atas bonet.

Encik Yap cuba berkomunikasi dengan Ang, mengetuk bonet sekali lagi untuk menghentikan kenderaan tersebut.

Ang berhenti seketika, dan Encik Yap berundur beberapa langkah sambil menggunakan telefonnya.

Namun, Ang kemudian memecut ke hadapan, dan hanya berhenti apabila keretanya bersentuhan dengan lutut Encik Yap.

Ang kemudian mengundur dan memecut ke hadapan dan hanya berhenti sebelum melanggar Encik Yap. Encik Yap sempat mengelak, dan Ang mengundur semula sehingga berada di belakang kereta Encik Yap.

Kali ini, dia membelok ke kanan untuk kembali ke jalan utama.

Encik Yap sekali lagi cuba menghalang Ang daripada melarikan diri, namun Ang terus memecut walaupun sudah melanggar kaki kanan Encik Yap.

Pelanggaran tersebut menyebabkan kaki Encik Yap terlipat, dan bahagian atas tubuhnya tersembam di atas bonet kereta Ang.

Ang terus memecut sehingga Encik Yap terjatuh ke atas jalan berhampiran tayar hadapan kereta.

Ang kemudian melanggar arah lalu lintas untuk membuat pusingan U dan melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa dikejarkan ke hospital dengan kecederaan ringan di bahagian pinggul dan punggung. Beliau dibenarkan pulang pada hari yang sama dan diberikan cuti sakit selama empat hari.

KECUAIAN MELAMPAU: PENDAKWA RAYA

Pihak pendakwaan meminta hukuman yang setimpal, memandangkan Ang tiada rekod jenayah lampau dan mengaku bersalah secepat mungkin.

Timbalan Pendakwa Raya Timothy Ong berkata, Ang menunjukkan “tingkah laku cuai yang amat tinggi” dan tindakannya "hampir menyamai niat sengaja".

“Tertuduh menunjukkan corak pemanduan agresif secara berterusan dengan menggerakkan keretanya ke hadapan berkali-kali walaupun mangsa berdiri tepat di hadapannya,” kata Encik Ong.

“Dalam pelanggaran terakhir, tertuduh mempercepatkan kenderaannya ke arah mangsa walaupun jelas kedudukan mangsa boleh dilihat dari tempat duduk pemandu,” tambahnya.

Encik Ong berkata, tindakan Ang yang memandu secara cuai dan cuba melarikan diri harus dilihat dalam konteks keengganannya memberikan maklumat kepada mangsa selepas kegagalannya menarik brek tangan menyebabkan pelanggaran antara dua kenderaan.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan melalui tindakan cuai yang membahayakan keselamatan individu, tertuduh boleh dipenjara sehingga satu tahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/NI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita