Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara, rotan hamilkan anak temanita yang bawah umur

Seorang lelaki yang mula melakukan hubungan seks dengan anak perempuan temanitanya ketika wanita itu keluar bekerja, hingga menghamilkan remaja berusia 14 tahun itu, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan enam kali rotan pada Isnin (29 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara, rotan hamilkan anak temanita yang bawah umur

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 29 Nov 2021 08:00PM Dikemas Kini : 29 Nov 2021 08:06PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mula melakukan hubungan seks dengan anak perempuan temanitanya ketika wanita itu keluar bekerja, hingga menghamilkan remaja berusia 14 tahun itu, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan enam kali rotan pada Isnin (29 Nov).

Pihak pendakwa berkata lelaki berusia 29 tahun itu, menjalin "hubungan seksual secara rahsia dengan mangsa" dari lewat 2018 hingga Jun 2020.

Mereka menuntut hukuman penjara antara 10 hingga 12 tahun dan enam sebatan, dengan menegaskan bahawa kesalahan lelaki itu telah "mengubah haluan kehidupan mangsa, memaksanya untuk memikul peranan dan tanggungjawab sebagai seorang ibu walhal dia sendiri baru menginjak remaja".

Pesalah itu mengaku bersalah bulan lalu atas tiga tuduhan melakukan penembusan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur, dengan 16 pertuduhan lagi diambil kira.

Lelaki itu mula menjalin hubungan dengan ibu mangsa pada 2015 dan kemudiannya berpindah masuk ke rumahnya. Mangsa pada mulanya tidak rapat dengan lelaki itu, kerana pernah didera secara seksual oleh seorang anggota keluarga ketika berusia 10 hingga 12 tahun.

Bagaimanapun, pesalah itu mula mendapatkan kepercayaan gadis itu dengan memainkan peranan sebagai seorang bapa, memanjakannya dan membawa remaja itu keluar untuk kegiatan kegemarannya seperti meluncur ais.

Dia memasak, membersihkan dan menjaga remaja itu ketika sakit dan membimbingnya membuat kerja sekolah, hingga mangsa akhirnya memanggilnya "daddy".

Bagaimanapun, hubungan mereka "bertukar menjadi hubungan seksual" pada Oktober 2018, dan pasangan itu mula melakukan "hubungan konsensual tanpa menggunakan perlindungan mencegah kehamilan secara kerap", menurut pendakwa raya.

Mangsa melahirkan seorang bayi perempuan pada Mei 2020. Pihak hospital memaklumkan polis mengenai kehamilan remaja itu, dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan turut memaklumkan perkara itu kepada polis beberapa minggu kemudian selepas mangsa cuba mendaftarkan kelahiran anaknya dan didapati berusia bawah 16 tahun.

Malah selepas bayi itu dilahirkan, pesalah terus melakukan hubungan seks dengan mangsa dan hanya ditahan pada awal Julai tahun lalu.

"Tertuduh bukan sahaja mengambil kesempatan keadaan mangsa yang kurang matang dan kepercayaan yang diberikan kepadanya, dia juga mengkhianati kepercayaan ibu mangsa, yang menjalin hubungan cinta dengannya."

Laporan Klinik Bimbingan Kanak-kanak menunjukkan mangsa berasa sedih kerana dia terlepas menamatkan pengajian dengan rakannya pada 2020 dan mempunyai "keinginan bunuh diri pasif" kerana penderaan seksual berulang yang dialaminya.

Dia juga bimbang bahawa anaknya mungkin membencinya jika dia mendapat tahu tentang kelahirannya yang luar nikah, dan mengalami kemurungan, cepat marah dan sukar tidur. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan